fbpx
Now Reading
Betul Ke Bumbung Atap Asbestos Diharamkan Di Malaysia? Ini Penjelasannya [Video]

Betul Ke Bumbung Atap Asbestos Diharamkan Di Malaysia? Ini Penjelasannya [Video]

Setakat ini, hanya 69 negara sahaja yang mengharamkan penggunaan bahan berasaskan asbestos.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki yang juga jurutera awam dan struktur mendakwa sebuah jenis atap bumbung telah diharamkan di Malaysia.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @kezo_consult, bumbung yang ditunjukkan oleh lelaki itu dipercayai atap jenis asbestos.

Hantaran terbabit kemudiannya mendapat perhatian ramai orang di mana rata-rata mendakwa bahawa atap bumbung jenis asbestos itu boleh menyebabkan kanser.

Persoalannya, benarkah ia boleh menyebabkan kanser dan apakah benar telah diharamkan di negara ini?

Bumbung atao asbestos boleh sebabkan kanser mesothelioma

Mengikut semakan kami, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu hantaran di laman Facebook pada 6 Mac 2019 dahulu mengesahkan bahawa bumbung atap asbestos boleh menyebabkan kanser mesothelioma.

Memetik artikel Public Health Malaysia (PHM), kebanyakan rumah dan kilang dahulunya sering menggunakan atap ini kerana ianya lebih murah serta dapat memberi kesan penyejukan.

Bagaimanapun, selepas kajian menemui asbestos merupakan punca penyebab kanser mesothelioma, penggunaannya telah dihentikan dan dihadkan.

Asbestos hanya diharamkan pada pembinaan bangunan kerajaan yang baru

Menurut PHM, meskipun terdapat negara yang telah mengharamkan penggunaannya secara sepenuhnya, tetapi di Malaysia pula ia hanya diharamkan pada pembinaan bangunan kerajaan yang baru sejak tahun 1999.

“Sekiranya bahan berbahaya ini tidak diusik, risiko untuk mendapatkan kanser sangat rendah.

“Risiko akan hadir apabila ia pecah, rosak dan anda terlibat secara langsung dalam mengendalikan asbestos. Situasi ini mendedahkan anda kepada risiko untuk untuk mendapat radang asbestosis paru-paru dan juga kanser mesothelioma.

“Tidak perlu banyak, sebutir debu sehalus bilah jarum sudah cukup untuk anda mendapat kanser dalam tempoh 30 tahun akan datang,” tulis PHM.

Kerajaan pertimbang hentikan penggunaan asbestos

Bagaimanapun pada Januari lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan kerajaan sedang memperhalusi cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan asbestos di Malaysia.

Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menerbitkan kajian berhubung penggunaan asbestos dan kesannya kepada alam sekitar dan kesihatan, lapor Berita Harian.

Setakat ini, hanya 69 negara sahaja yang mengharamkan penggunaan asbestos sepenuhnya termasuklah Jepun dan Thailand.

Cara cegah risiko kanser mesothelioma kerana asbestos

PHM turut menyenaraikan beberapa perkara yang boleh dilakukan orang ramai untuk mencegah masalah ini.

Berikut apa yang boleh dilakukan anda:

  • Jika anda masih menggunakan bumbung asbestos ini, pastikan bumbung tidak retak, pecah.
  • Jika ianya pecah, pastikan proses membaikpulih bumbung mengikut prosedur khusus Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Alam Sekitar.
  • Jika anda nampak di Kawasan rumah/perjiranan anda, hubungi pihak berkuasa temptan anda dengan segera untuk proses pelupusan.
  • Jangan bakar dan jangan tanam atau lupus sendiri.
  • Jangan biarkan anak anda bermain di kawasan asbestos. Kesan kanser asbestos hanya boleh nampak selepas 30 tahun.

Apakah gejala masalah ini

Berkongsi lanjut, PHM turut menjelaskan simptom-simptom asbestosis dan kanser mesothelioma yang akan dirasai.

Simpton-simptomnya adalah sepeti berikut:

  • Sesak nafas
  • Dada terasa ketat
  • Batuk kering berpanjangan
  • Sakit dada
  • Kurang selera makan
  • Penat
  • Demam dan berpeluh sewaktu malam

“Jika anda dapati anda berisiko dan mempunyai gejala-gejala tersebut, dapatkan rujukan awal di Klinik Kesihatan berhampiran,” tulisnya lagi.

Sementara itu, memindai ke ruangan komen pada hantaran video di TikTok, ramai yang mendakwa bahawa masih terdapat beberapa kawasan yang menggunakan bumbung atap asbestos ini secara meluas.

Atap jenis ini mungkin masih ada yang memproduksinya dan menjualnya kerana ia tidaklah diharamkan sepenuhnya di Malaysia.

Namun, sebagai pengguna yang menitik beratkan soal kesihatan, sebaiknya adalah tidak memilih bumbung atap asbestos ini.

Baca Artikel Berkaitan: Ambil Tahu! Atap Bumbung Rumah Antara Punca Kanser Paru-Paru

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.