
“Terima Kasih Sir” – KJ Sekeluarga Tersentuh Hati Dengan Kemuliaan Kata-kata Anwar Terhadap Pak Lah
Khairy Jamaluddin menghargai penghormatan yang diberikan Anwar dan kerajaan kepada Pak Lah dengan mengizinkan satu istiadat pengebumian yang teristimewa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Malaysia masih lagi berduka atas pemergian Perdana Menteri ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Isnin lalu (14 April).
Jenazah Tun Abdullah telah selamat disemadikan di Makam Pahlawan pada pukul 2.30 petang semalam (15 April) dengan dihadiri orang ramai termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi penghormatan terakhir.
Baca Artikel Berkaitan: “Jasamu Akan Dikenang” – PM5 Pak Lah Meninggal Dunia
Anwar juga memuat naik satu video di akaun media sosial miliknya yang memaparkan beberapa gambar kenangan beliau bersama Allahyarham yang turut mesra disapa ‘Pak Lah’ ketika dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Sosok Pak Lah pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada rakyat dan negara. Berehatlah, Pak Lah. Malaysia ternyata terhutang budi atas jasa sang negarawan yang membumi,” tulisnya.
KJ ucap terima kasih kepada Anwar atas kemuliaan terhadap Pak Lah
Hantaran terbabit kemudiannya mendapat respon bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut menzahir ucapan terima kasih kepada Anwar atas kemuliaan yang ditunjukkan terhadap bapa mentuanya itu.
Menerusi ruangan komen, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau turut menghargai penghormatan yang diberikan Anwar dan kerajaan kepada Pak Lah dengan mengizinkan satu istiadat pengebumian yang teristimewa.
“Terima kasih ‘sir’ (tuan) atas beberapa nukilan ikhlas yang dikarya bagi mengingati sahabat lama. Kami sekeluarga turut tersentuh dengan kemuliaan kata-kata disampaikan Anwar terhadap ayahanda ‘Pak Lah’ (Abdullah).
“Penghargaan juga di atas kebenaran untuk jenazah (Allahyarham Tun Abdullah) disemadikan di Makam Pahlawan bersama negarawan-negarawan lain,” tulisnya.
KJ Sekeluarga terhutang budi atas penghormatan diberikan kepada Allahyarham
Menurutnya, beliau amat terhutang budi dan berterima kasih atas penghormatan yang diberikan terhadap Allahyarham Tun Abdullah.
“Saya akan sentiasa berterima kasih atas perkara ini, tuan,” tulisnya lagi di ruangan komen.

Sebelum ini, Anwar turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Pak Lah dan menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin “yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas”.
Saya baru menerima berita yang amat menyentak jiwa iaitu sahabat saya yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi telah kembali menemui ilahi.
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) April 14, 2025
Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang… pic.twitter.com/7Qw930RiIz
Allahyarham Tun Abdullah dikebumi mengikut Istiadat Pengebumian Negara
Terdahulu, Allahyarham Tun Abdullah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur selepas mengalami masalah pernafasan.
Jabatan Perdana Menteri kemudiannya dalam satu kenyataan memaklumkan janazah Tun Abdullah akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar jenazah Tun Abdullah disemadikan di Makam Pahlawan sebagai penghormatan tertinggi negara.