
Menurut pakar fizik dikenali sebagai Dr Zamir Moheyedin, musim panas tersebut dijangka berpanjangan sehingga bulan September.
Memang sejak dahulu lagi, Malaysia dikenali dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun kerana iklim khatulistiwa. Tetapi kalau anda perasan, cuaca panas pada masa kini dilihat semakin menjadi-jadi.
Malah ada juga segelintir individu yang sanggup membatalkan rancangan mereka untuk berjumpa dengan rakan hanya kerana bahang melampau.
Namun begitu, musim panas tersebut tidak berlaku secara tiba-tiba sebaliknya terdapat punca mengapa fenomena ini berlaku.
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok apabila seorang pakar fizik dikenali sebagai Dr Zamir Moheyedin (@zamirmohyedin) berkongsi tentang fakta mengenai cuaca panas dan bahang dilalui masyarakat sekarang.
Menurut Dr Zamir yang juga penulis Buku Angkasa Raya, fenomena cuaca panas ini sudah berlangsung sejak Mei lagi dan dijangka berpanjangan sehingga bulan September akan datang.
Jelas beliau, ia bukanlah satu situasi baharu tetapi corak sedemikian telah berlaku pada setiap tahun dalam tempoh bulan yang sama. Punca utama bahang panas ini adalah disebabkan Monsun Barat Daya.
Tetapi kenapa Monsun Barat Daya memberi impak cuaca panas yang teruk di Malaysia?
Jelas beliau, cuaca panas ini bukan sahaja melanda Malaysia tetapi juga negara-negara empat musim.
“Mereka ada musim sejuk, bunga, luruh dan musim panas. Musim panas ni pula berlangsung sekitar Mei hingga September. Pada bulan ini, tanah Asia dan daratan di Asia mengalami musim yang sangat panas sehingga menyebabkan udara di sekeliling kita ni naik ke atas.
“Konsep dia sama macam belon panas, yang mana ia dapat naik ke atas sebab ada api yang memanaskan udara dalam belon tersebut sehingga menyebabkan ia dapat naik ke atas,” kata Dr Zamir.
Analogi itu turut dikaitkan dengan cuaca panas di Malaysia kini. Apabila masuk sahaja musim panas, udara di sekeliling turut naik ke atas.
Ia secara langsung mengakibatkan persekitaran sekeliling memasuki sistem bertekanan rendah kerana udara sudah semakin berkurangan.
“Hal ini menyebabkan angin sejuk dari laut akan mengalir ke daratan yang bertekanan rendah ini. Angin sejuk ni sebenarnya dia bawa udara-udara lembab. Apabila semakin banyak udara lembab ni mengalir ke daratan Asia, hujan akan mudah terjadi,” ulas beliau.
Dr Zamir menjelaskan hujan juga akan turun setiap kali musim panas berlaku, lebih teruk lagi apabila bencana banjir berlaku di sesetengah negara sebagai contoh Thailand, Sri Lanka, dan Vietnam.
Tetapi kenapa Malaysia terkecuali? Pakar itu mendedahkan bahawa banjaran gunung-gunung yang berada di Sumatera dipanggil sebagai Banjaran Barisan merupakan punca utama.
Banjaran itu telah menghalang angin-angin lembab untuk sampai terus ke Malaysia. Apabila angin lembab tersebut mengalir daripada lautan Hindi, ia akan terhalang dan tersekat di Banjaran Barisan.
“Apa yang kita dapat dekat Malaysia ni adalah angin dan udara kering sehingga menyebabkan Malaysia ni sangat-sangat panas dan hujan tu sangat-sangat sikit. Malah panas tu berterusan sampai tak nampak hujan langsung. Jadi inilah antara sebab kenapa bulan Mei sampai September ni adalah bulan yang sangat panas buat Malaysia.
Kesimpulan: Cuaca panas pada ketika ini berpunca disebabkan Monsun Barat Daya dan angin lembab yang terhalang sekitar Banjaran Barisan di Sumatera.