buzzkini.com

Ramai Sebak Pelajar Bawa Keputusan SPM 5A Ke Kubur Untuk ‘Beritahu’ Ibu, Ayah & Adik [Video]

Ramai Sebak Pelajar Bawa Keputusan SPM 5A Ke Kubur Untuk ‘Beritahu’ Ibu, Ayah & Adik [Video]

Pelajar yang dikenali sebagai Muhammad Faiz Qudry turut memaklumkan sebaik sahaja mendapat keputusan SPM, dia terus ke kubur untuk menziarah umi, ayah dan adik.

Setiap individu pastinya gembira jika mendapat perkhabaran baik tentang berita kejayaan seseorang.

Selain memanjatkan kesyukuran kepada yang Maha Esa atas kurniaan dan rezeki, ia juga biasanya diraikan bersama insan tersayang seperti keluarga.

Namun tidak semua mempunyai peluang sama untuk meraikan kejayaan itu dengan ahli keluarga memandangkan mereka telah kembali negeri abadi.

Oleh itu, hanya pusara yang boleh dikunjungi diiring dengan doa bagi meraikan kejayaan tersebut.

Pelajar ziarah kubur ibu, ayah dan adik untuk beritahu keputusan SPM

Perkara sama turut dilakukan oleh salah seorang pelajar yang baharu sahaja mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila dia menziarah ke pusara ibu, ayah dan adiknya untuk menceritakan tentang keputusan yang diperoleh.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Muhammad Faiz Qudry, kelihatan pusara kedua ibu bapa dan adiknya berada bersebelahan antara satu sama lain.

Faiz turut dilihat memegang kertas keputusan SPM miliknya dan memaklumkan telah mendapat keputusan 5A untuk peperiksaan berkenaan.

“Ayah, umi, adik! Abang dapat 5A SPM,” tulisnya dalam video berkenaan.

Bersyukur dengan keputusan yang dimiliki

Di ruang kapsyen, Faiz menyifatkan meskipun keputusan itu tidak seberapa namun dia bersyukur dengan apa yang dimilikinya.

Dalam satu lagi hantaran yang dikongsikan dalam aplikasi berkenaan, Faiz turut bergambar dengan kubur ibu, ayah dan adiknya sambil memegang keputusan SPM tersebut.

Malah Faez turut memaklumkan dia sudah membuktikan bahawa dia boleh melakukannya.

“Abang akan cuba lagi untuk menjadi yang terbaik walaupun tanpa korang (umi, ayah, adik) di sisi abang. Abang harap dengan pencapaian abang tu dapat membahagiakan korang!

“Abang cuba jadi anak yang terus kuat hadap semua rintangan. Dalam masa sama abang tak dapat merasakan naik pentas dengan mak ayah, tapi tak apalah itu ketentuan takdir, jadi apakan daya seorang hamba yang ingin mengeluh ia tidak akan berubah.

“Abang minta maaf kalau tak dapat memberi yang terbaik untuk korang tapi abang janji abang akan terus berusaha untuk bergelar yang terbaik!” jelasnya.

Terus ke kubur sebaik terima keputusan SPM

Katanya sebaik mendapat keputusan SPM dia terus ke kubur ibu bapa dan adik dengan menaiki motosikal.

“Abang sampai sana abang bagitahu abang dapat 5A tapi abang tak rasa dengan suasana bahagia dekat sana tapi sebaliknya. Abang sayang korang, terima kasih jaga abang dulu! Love you.”

Di ruang kapsyen Faiz mengatakan meskipun tiada gambar bersama di atas pentas namun dia mempunyai foto satu per satu di kubur.

Katanya dia bangga bukan kerana keputusan berkenaan sebalik mampu menghabiskan peperiksaan itu tanpa kasih sayang ibu, ayah dan adik.

Jelas Faiz dia sedaya upaya cuba untuk mendapatkan apa yang ahli keluarga inginkan namun hanya keputusan itu yang dapat diberikan.

Ayah, Ibu dan Adik meninggal kerana Pneumonia & asma

Sebelum ini, kisah Faiz juga pernah tular di portal lain, difahamkan kesemua ahli keluarganya itu meninggal dunia kerana Pneumonia dan asma.

Ayahnya meninggal pada tahun 2014 manakala ibu serta adik pada tahun 2016.

Ramai bangga dengan keputusan diperoleh Faiz

Melihat di ruangan komen, ramai yang bangga dengan Faiz atas keputusan yang dimilikinya.

Malah ada juga yang mengucapkan tahniah atas usahanya selain mengatakan sudah pasti keputusan itu akan membanggakan ibu, ayah dan adiknya.

Ada juga menyifatkan ia bukan perkara mudah untuk ditempuhi oleh Faiz untuk melalui kehidupan tanpa ahli keluarga yang disayangi.

“Tahniah dik, acik pula wakilkan arwah anak acik ambil result SPM hari ni (24 April).”
“Tahniah bang, abang terlalu kuat sebab selesaikan SPM tanpa mak, ayah dan adik abang. Tapi apa-apa pun stay strong bang”