https://twitter.com/jnmalaysia/status/1610245053846519808?s=20&t=ufIjbKH4kxYWiud1fie8DA
Sejak semalam (3 Januari), tular rakaman klip di media sosial yang memaparkan sebuah lori dipandu melawan arus di Kilometer 5.5 Lebuhraya Linkedua, Iskandar Puteri, Johor.
Lebih parah, tindakan pemandu lori terbabit menyebabkan berlakunya kemalangan dengan dua buah kereta di laluan itu.
Pemandu lori di bawah pengaruh alkohol
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Arifin berkata, hasil siasatan mendapati pemandu lori berusia 41 tahun itu berada di bawah pengaruh alkohol.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori terbabit dalam perjalanan dari Kulai menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
“Apabila tiba kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori terlepas susur ke PTP,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Lawan arus untuk masuk semula ke susur PTP sebelum merempuh dua buah kereta
Jelasnya lagi, pemandu lori itu bertindak melawan arus untuk masuk semula ke susur PTP sebelum merempuh dua kereta iaitu Mercedes Benz dan Nissan Almera yang berada di laluan terbabit.
Kata Rahmat Arifin, pemandu Mercedes Benz yang mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.
“Pemandu lori ditahan dan didapati di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”
Tambahnya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang sepuluh tahun dan denda tidak kurang lima ribu ringgit.