Sejak beberapa hari yang lalu, hangat diperkatakan mengenai isu gaji rendah bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Konstabel.
Ia mula menjadi perhatian media apabila pendedahan dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bahawa gaji permulaan bagi anggota berpangkat konstabel hanya RM1,441 ketika menyertai rekrut dan RM1,800 setelah tamat latihan.
Malah, dalam ucapan beliau juga menyatakan bahawa kumpulan ini tergolong dalam kategori miskin terutama apabila ditugaskan di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur yang menjadikan mereka sebagai golongan miskin bandar.
Mengulas lanjut berhubung isu ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu berhubung gaji anggota PDRM telah pun dibincangkan di peringkat dalaman Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut beliau, KDN sentiasa mencari jalan khususnya berkaitan gaji bersih anggota badan beruniform itu.
“Sudah tentu kita akan berusaha dan mencari ikhtiar serta jalan keluar bagi mencari jawapan terhadap isu berkenaan,” kata beliau.
Ketika ditanya sama ada isu berkaitan gaji ini antara perkara yang akan dibincangkan dalam pembentangan Bajet 2024 akan datang, Saifuddin memaklumkan bahawa permohonan belanjawan telah pun dimuktamadkan oleh KDN.
Justeru, beliau perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan awal yang membabitkan Bajet 2024.
“Permohonan Bajet (Belanjawan) 2024 oleh KDN iaitu membabitkan emolumen, operasi dan pembangunan sudah pun dimuktamadkan. Kita akan tengok nanti bagaimana, saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan pra-matang mengenainya,” kata beliau lagi.
Terdahulu, selain pendedahan yang dibuat oleh Pengarah JSJ Bukit Aman mengenai gaji bersih anggota PDRM berpangkat Konstabel, media turut melaporkan kenyataan oleh Timbalan Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis Malaysia (PPRPD), Sub Inspektor Abd Rashid Ali berhubung isu ini.
Menurut Abd Rashid, gaji anggota berpangkat Konstabel sememangnya tidak mencukupi bagi menampung kos sara hidup pada masa kini.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menaikkan gaji minimum pegawai rendah polis kepada paras yang lebih tinggi dari RM1,500 bagi meringankan beban anggota yang terkesan dalam menjalani kehidupan seharian.
Baca Artikel Berkaitan:
Menurut Ning Baizura, dia juga tahu mengenai apa yang berlaku di Palestin, tidak seperti apa…
Difahamkan, program cari jodoh itu terbuka buat mereka yang berusia 25 hingga 35 tahun dan…
Menurut KPN, suspek telah membuat persediaan untuk menyerang Balai Polis Ulu Tiram berkenaan kerana menggunakan…
Pemandu kereta jenis Lamborgini Hurucan, MPV dan SUV itu meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya…
Skizofrenia merupakan penyakit mental kronik yang menyebabkan berlaku gangguan pemikiran secara serius.
Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu melakukan lawatan mengejut ke sekolah rendah agama berkenaan…