Takut Ditahan Polis, Samseng Jalanan Nekad Rempuh Meja & Kerusi Di Kedai Makan [Video]
Menurut PDRM sebelum diserbu pihak berkuasa, geng motosikal di lokasi berkenaan turut dilihat bersaing sesama sendiri bagi menguji kelajuan jentera masing-masing.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang penunggang motosikal sanggup merempuh meja dan kerusi di hadapan sebuah kedai makan di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang kerana cuba mengelak daripada ditahan polis.
Turut kelihatan beberapa anggota polis di kawasan berkenaan cuba untuk menghalangnya namun gagal apabila dia menunggang dalam keadaan yang laju dan berbahaya.
Seorang penunggang motosikal merempuh beberapa buah premis makan di Pandamaran, Klang, Sslangor susulan Operasi Khas dijalankan polis pada malam Isnin.
— MYNEWSHUB (@mynewshub) January 2, 2024
Kredit : Majoriti pic.twitter.com/N6OaTHn6tD
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Terbaharu, polis mengesahkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelas Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong insiden membabitkan penunggang motosikal itu dilaporkan berlaku pada jam 3 pagi, 1 Januari sewaktu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik melakukan Operasi Ambang Tahun Baharu 2024.
Penunggang berjaya loloskan diri dari ditahan polis
Ujarnya, ketika operasi itu dilakukan anggota polis turut ditempatkan di bahagian persimpangan jalan untuk menutup jalan agar kumpulan samseng jalanan berkenaan tidak melepaskan diri.
Samseng jalanan berkenaan turut dilihat bersaing sesama sendiri untuk menguji kelajuan motosikal masing-masing.
Namun kehadiran pihak berkuasa menyebabkan geng motosikal samseng tersebut menjadi cemas serta kelam-kabut untuk melarikan diri dari ditahan polis.
“Sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 nombor pendaftaran tidak pasti yang ditunggang oleh seorang lelaki secara laju telah memasuki lorong kiri bersebelahan persiaran Raja Muda Muda dan cuba dihalang oleh anggota polis namun dapat meloloskan diri lalu merempuh kerus dan meja pelanggan yang berada di hadapan kedai makan.
“Dia kemudian menghilangkan diri ke arah Jalan Kem, Pelabuhan Klang,” katanya.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku kepada orang awam
Insiden bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada orang awam atau anggota polis yang bertugas.
Beliau dalam pada itu, turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung insiden berkenaan untuk tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.
Selain itu, beliau juga menasihatkan anak muda agar tidak melibatkan diri dalam aktiviti samseng jalanan yang membahayakan diri dan keselamatan orang lain serta mengganggu ketenteraman awam kepada penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
“Ibu bapa perlu prihatin dan sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak terlibat dengan aktiviti samseng jalanan yang mungkin boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya dan kehilangan nyawa.”