Isu sistem kuota Bumiputera dalam pengambilan pelajar Universiti Awam (UA) di Malaysia telah menjadi topik perbualan yang hangat sejak sekian lama.
Namun perkara itu sekali lagi hangat diperkatakan di media sosial selepas persoalan mengenai hal itu dibangkitkan seorang mahasiswa baru-baru ini.
Sewaktu majlis ‘Temu Anwar’ di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang berlangsung pada Sabtu lalu (5 Ogos), seorang pelajar perempuan mempersoalkan tentang masalah yang dihadapi oleh pelajar bukan Bumiputera yang menurutnya agak susah untuk mendapat tempat di UA ekoran dari penggunaan sistem kuota.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjawab soalan itu kemudiannya menegaskan bahawa sistem kuota tidak akan dibatalkan kerana ia boleh menimbulkan pelbagai isu dalam negara.
Beliau kemudian meminta pelajar berkenaan untuk mempelajari semula tentang sejarah berkaitan sistem kuota dan kontrak sosial selepas persoalan itu sering ditanya kepada beliau.
Perkara itu kemudian menjadi perdebatan di media sosial di mana ada yang menyokong kenyataan PM dan ada juga yang mengkritiknya dan menyifatkannya sebagai membuli pelajar itu.
Baca artikel berkaitan: “Kalau Sistem Kuota Dimansuhkan, Kami Kalah Semua Pilihan Raya” – Anwar Ibrahim Jawab Soalan Pelajar Matrik
Baca artikel berkaitan: Isu Kuota Universiti : Anwar Ibrahim Sangkal Dakwaan ‘Buli’ Pelajar – “Saya Terang Seperti Bapa” [Video]
Terbaharu sebuah kumpulan siswazah berbangsa India dari Universiti Malaya (UM), Concerned UM Indian Graduates (CUMIG) memberikan pendapat mereka selepas mendengar jawapan yang diberikan oleh Anwar berhubung isu sistem kuota bagi pelajar Bumiputera.
Menurut mereka, pendekatan Anwar yang menggalakan pelajar untuk memahami tentang sejarah pembentukan negara serta penggubalan undang-undang adalah amat digalakkan.
Namun, jawapan berhubung sistem kuota yang tidak boleh dihapuskan dianggap tidak menyeluruh dan bersifat sementara kerana ia dikatakan bercanggah dengan pengumuman sebelum ini oleh mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Husaini Omar.
Jawapan Perdana Menteri bahawa sistem kuota dalam pengambilan pelajar ke IPTA tidak boleh dihapuskan telah membuka semula perbincangan berkaitan kaedah pengambilan pelajar ke IPTA kerana berbeza dengan kaedah pengambilan yang diumumkan sebelum ini.
Concerned UM Indian Graduates (CUMIG).
Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 18 Ogos 2020, pihak mereka menjelaskan sistem meritokrasi diamalkan dalam pengambilan pelajar ke IPTA tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal.
Dalam kenyataan sama, sistem kuota dikatakan telah digugurkan sejak sesi pengambilan 2002/2003.
Umum juga mengetahui bahawa dasar pengambilan pelajar ke program Matrikulasi KPM adalah berdasarkan kuota iaitu 90% diperuntukan kepada pelajar Bumiputera manakala 10% lagi diperuntukan kepada pelajar Bukan Bumiputera.
Persoalan utama yang bermain dalam minda para pelajar dan ibu bapa adalah apakah sebenarnya dasar yang dilaksanakan dalam proses pengambilan pelajar ke IPTA? Adakah prinsip berdasarkan meritokrasi yang diguna pakai sejak sesi pengambilan 2002/2003 atau kuota berdasarkan kaum masih terpakai?
Concerned UM Indian Graduates (CUMIG).
Sementara itu, CUMIG turut menyatakan rasa hormat mereka terhadap keistimewaan yang diberikan kepada masyarakat Bumiputera selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan tidak sama sekali mempersoalkan legitimasi di sebalik peruntukan ini.
Pada masa yang sama, CUMIG merujuk kepada perlindungan terhadap kepentingan sah kaum lain yang juga termaktub dalam Perkara 153 dan mengusulkan kepada kerajaan Malaysia untuk menetapkan dasar lebih jelas dalam pengambilan pelajar Bukan Bumiputera ke IPTA.
Sekiranya sistem kuota yang dilaksanakan dalam pengambilan pelajar ke IPTA, kerajaan seharusnya menetapkan kuota tempat mengikut nisbah kaum dan taraf sosioekonomi.
Concerned UM Indian Graduates (CUMIG).
Maklumat penetapan kuota ini perlu diterbitkan kepada umum sebagai pemakluman awal kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama.
Penerbitan maklumat ini akan mencerminkan keterbukaan kerajaan dalam mengatasi polemik isu perkauman dan ketidakadilan yang sering dibangkitkan dalam proses pengambilan pelajar ke IPTA termasuk ke Program Matrikulasi KPM.
Di samping itu, CUMIG turut mengusulkan beberapa cadangan bagi menambah baik proses pengambilan pelajar sedia ada dengan harapan ia dapat menyelesaikan isu Bumiputera-Bukan Bumiputera:
CUMIG menyeru pimpinan negara untuk merangka dasar pendidikan yang jelas dengan mengambil kira bagi memastikan Malaysia tidak kehilangan golongan cerdik pandai dan sumber manusia yang bernilai.
Jelas penyanyi nombor satu negara itu, sekiranya seseorang mahu menegur, ia harus dilakukan dengan beradab…
Menerusi video, turut kelihatan peniaga gerai makan tersebut meletakkan seekor ayam di atas dulang yang…
Kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi tadi (16 Mei) sebelum penemuan harimau belang itu dilaporkan…
Hasil siasatan dilakukan mendapati pihak restoran terbabit menerima pesanan mengandungi ayat menghina Islam menerusi sebuah…
Menurut kenyataan itu, ia berikutan hospital berkenaan berhadapan dengan masalah kekurangan doktor yang kebanyakannya telah…
Lelaki itu turut menasihati pemandu agar tidak kembali ke kenderaan jika semata-mata untuk melihat kebakaran…