Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menjadi tumpuan apabila menggunakan kuasa veto yang dimilikinya bagi menghalang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf negara Palestin dari menjadi ahli penuh badan dunia itu.
AS sewaktu sidang Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Khamis (18 April) berkata, sebuah negara Palestin yang merdeka harus ditubuhkan menerusi rundingan terus antara Pihak Berkuasa Palestin dan Israel, bukan melalui tindakan PBB.
“AS menyokong kuat penyelesaian dua negara. Undi ini tidak mencerminkan bantahan terhadap kenegaraan Palestin, sebaliknya merupakan pengakuan ia hanya akan datang daripada rundingan terus antara pihak terbabit,” kata Timbalan Duta AS ke PBB, Robert Wood.
Draf resolusi tersebut yang diusulkan Algeria secara ringkasnya mengesyorkan kepada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB (UNGA) agar negara Palestin diterima menjadi ahli PBB.
Undian di UNSC tersebut menyaksikan 12 negara menyokong, AS memveto manakala Britain dan Switzerland berkecuali.
Tindakan AS itu mengundang kecaman Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang menyifatkan ia sebagai “tidak adil, tiada etika dan tidak wajar”.
Malah Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour sebaik undian turut menzahirkan rasa kecewa namun menjelaskan ianya tidak akan mematahkan usaha mereka dalam mendapatkan keahlian penuh PBB.
“Hakikat resolusi ini tidak diluluskan tidak akan mematahkan hasrat dan keazaman kami. Kami tidak akan berhenti berusaha,” kata Riyad Mansour.
Nada berbeza pula diberikan Menteri Luar Israel, Israel Katz yang memuji AS kerana memveto usul berkenaan yang disifatkannya sebagai memalukan.
Dia menerusi satu ciapan di laman X berkata, cadangan tersebut adalah umpama satu ganjaran kepada keganasan selepas “pembunuhan orang Yahudi terbesar sejak Holocaust”.
Sebagai info, status Palestin di PBB pada ketika ini adalah sebagai ‘negara pemerhati bukan ahli’, satu pengiktirafan de facto kenegaraan yang telah diberikan pada UNGA 2012.
Namun usaha menjadikan Palestin sebagai ahli penuh badan dunia itu bermula selepas enam bulan pembantaian oleh Israel di Semenanjung Gaza.
Cadangan ini bagaimanapun tidak mudah memandangkan Palestin perlu mendapat kelulusan dari 15 ahli UNSC yang turut dianggotai AS sebagai anggota kekal terlebih dahulu dan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli UNGA.
Selain AS, empat lagi negara yang merupakan anggota kekal UNSC adalah United Kingdom (UK), Perancis, Rusia dan China.
Manakala 10 lagi ahli adalah dari lima negara terpilih dan lima ahli tidak tetap.
Menurut KPD Alor Gajah, siasatan lanjut mendapati pengadu menghantar anaknya kepada pengasuh dari jam 3…
Menteri Komunikasi menjelaskan MCMC bakal bekerjasama dengan platform Meta bagi mewujudkan chatbot tersebut.
Pemuda berkenaan dilaporkan telah membeli shawarma ayam berkenaan pada 3 Mei sebelum berasa sakit perut…
Menerusi video tersebut, bapa wanita itu dilihat langsung tidak menoleh dan hanya menawarkan kuih yang…
Lebih menarik lagi, adik Abu Dabith juga dilihat bijak mengatur strategi dengan menghantar bulu tangkis…
Menurut lelaki berkenaan, seseorang yang ingin menjadi makmum hanya perlu berdiri bersebelahan individu berkenaan dan…