Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebelum ini menjadi pilihan ramai pelajar di dalam negara. Apatah lagi dengan ‘janji’ bahawa ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan bayaran lebih tinggi berbanding bidang lain.
Namun begitu, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, baru-baru ini memaklumkan hanya 15.2% calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang mengambil Sains Tulen.
Katanya, jumlah itu jauh ketinggalan berbanding dasar 60% yang ditetapkan sejak 1967 selain merupakan jumlah paling rendah dalam sejarah, lapor Berita Harian.
Di samping itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata institusi pengajian tinggi (IPT) dikhuatiri kekurangan pelajar dalam fakulti berkaitan STEM seperti perubatan, kejuruteraan dan sains.
Sehubungan itu, seorang individu yang merupakan graduan bidang sains, telah berkongsi pendapatnya mengenai kepayahan graduan STEM mendapatkan pekerjaan berkaitan di Malaysia.
Menerusi perkongsiannya di laman X, graduan kimia dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Lutfi Azmi berkata Malaysia sememangnya menyediakan peluang pendidikan dalam bidang sains bagi pelajar yang berminat.
Walau bagaimanapun, masalah timbul seusai pelajar tamat pengajian dan mencari kerja berkaitan bidang dipelajari mereka.
Lutfi mengkategorikan peluang pekerjaan kepada dua sektor iaitu Kerajaan dan Swasta.
Katanya, bagi pekerjaan dalam bidang STEM di bawah Kerajaan, kemungkinan hanya jawatan Pegawai Sains (Gred C41) yang terbuka untuk pelajar mencuba nasib. Namun, slot yang terlalu terhad menyebabkan ramai siswazah lepasan sains tidak berpeluang.
Di sektor Swasta pula, Lutfi beranggapan sukar bagi pelajar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka, yakni tidak terlebih atau terkurang kelayakan.
Tambahnya lagi, kebanyakan makmal dan industri STEM di Malaysia tidak memberi fokus kepada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Sebaliknya, terdapat banyak industri pengeluaran (production) yang hanya bertumpu terhadap penghasilan produk serta kawalan kualiti (QC) dan jaminan kualiti (QA) sahaja.
Sinar Harian sebelum ini pernah berkongsi 16 jurusan di peringkat ijazah sarjana muda yang sukar mendapat pekerjaan menurut Kebolehpasaran Graduan (GE). Sembilan daripada 16 jurusan berikut merupakan bidang berkaitan STEM, yakni Sarjana Muda Sains dan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik.
Selain itu, Lutfi berkongsi pendapat bahawa kedua-dua sektor terbabit mengalami masalah kekurangan peluang kerja serta gaji yang sangat rendah.
Menurutnya, pemegang ijazah kebiasaannya akan terlebih layak (over qualified) untuk bekerja di makmal bagi industri dengan fokus terhadap analisa rutin berbanding R&D.
Berdasarkan laporan oleh Khazanah Research Institute (KRI), lebih separuh graduan bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka. Malah, laporan sama mendapati separuh graduan yang bekerja dalam bidang Sains, Matematik dan Komputer menerima gaji permulaan kurang RM2,000.
Lutfi juga menyatakan pilihan ketiga yang banyak diambil oleh graduan sains, iaitu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Ini bermakna pelajar tersebut akan fokus untuk menjadi pensyarah atau penyelidik di universiti berkenaan.
Dia mendakwa sistem pendidikan dalam bidang sains yang dihasilkan di Malaysia terputus dari keperluan industri oleh kerana ramai graduan mengambil keputusan ini.
“Berapa ramai graduan yang ada Master, PHD bidang sains, tetapi tiada pengalaman industri? Berapa ramai graduan yang betul-betul berkhidmat dalam R&D dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara?” soalnya.
Lutfi yang sejak kecil menyimpan cita-cita sebagai seorang saintis, berkata para pelajar sewaktu zamannya telah dinasihati agar menyambung pengajian dalam bidang sains, namun peluang pekerjaan dalam bidang tersebut kini tidak mencukupi.
Malah, banyak graduan STEM ‘lari’ dari bidang asal apabila menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, katanya yang kini berkhidmat di bahagian pemasaran bagi satu syarikat farmaseutikal.
Lutfi berpendapat bahawa pelajar kini tidak berminat untuk menceburkan diri dalam bidang STEM atas masalah tersebut. Katanya lagi, dia sendiri tidak akan mencadangkan sesiapa untuk menyambung belajar dalam bidang sains dalam keadaan sistem pendidikan dan industri negara yang dirasakan tidak sehaluan.
Di akhir perkongsiannya, dia telah meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar melakukan sesuatu bagi generasi akan datang.
Menurut Ning Baizura, dia juga tahu mengenai apa yang berlaku di Palestin, tidak seperti apa…
Difahamkan, program cari jodoh itu terbuka buat mereka yang berusia 25 hingga 35 tahun dan…
Menurut KPN, suspek telah membuat persediaan untuk menyerang Balai Polis Ulu Tiram berkenaan kerana menggunakan…
Pemandu kereta jenis Lamborgini Hurucan, MPV dan SUV itu meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya…
Skizofrenia merupakan penyakit mental kronik yang menyebabkan berlaku gangguan pemikiran secara serius.
Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu melakukan lawatan mengejut ke sekolah rendah agama berkenaan…