fbpx
Now Reading
Lain Dari Biasa, Kem Musim Panas ‘Agro-Culture’ Ini Bawa Peserta Rasai Pengalaman Jadi Petani

Lain Dari Biasa, Kem Musim Panas ‘Agro-Culture’ Ini Bawa Peserta Rasai Pengalaman Jadi Petani

AGREX merupakan satu pengalaman percutian bertemakan pendidikan di mana peserta dapat mengembara sambil mempelajari selok-belok pertanian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pertanian adalah asas kepada tamadun manusia. Keupayaan untuk mengusahakan tumbuhan dan ternakan untuk dijadikan sumber makanan membolehkan manusia membina empayar di seluruh dunia. 

Namun pada masa kini, sektor pertanian sering dianggap sebagai satu industri ‘kotor’ yang semakin jauh terpisah daripada arus kemodenan. Di saat dunia terus berdepan kekurangan bekalan akibat perubahan iklim dan faktor-faktor lain, adalah penting untuk kita menyesuaikan diri dengan menghasilkan apa sahaja keperluan untuk terus hidup.

Sehubungan itu Program Agroculture Axcelerator atau AGREX telah diperkenalkan bagi mengubah pandangan rakyat Malaysia terhadap pertanian.

Dihasilkan dengan kerjasama MARDI Corporation dan Boxcube Travellers, AGREX merupakan satu program yang direka untuk meningkatkan minat terhadap pertanian dengan menyediakan orang ramai, khususnya anak muda dengan pengetahuan dan pengalaman langsung tentang pertanian dengan kaedah yang menarik dan interaktif.

Mempromosikan apa yang mereka gelar ‘Agro-Budaya’, AGREX mahu semua pihak peka dan prihatin terhadap sektor pertanian selain mengambil tahu asas penghasilan serta pengeluaran barangan runcit dan keperluan makanan manusia.

Macam mana mereka lakukan? Cuti Agro-Budaya!

AGREX akan membawa para peserta menjelajah dan ‘turun ke padang’ di beberapa kawasan di seluruh negara.

Di sana mereka akan merasai pengalaman pembelajaran luar bilik darjah dengan memerhati dan mempelajari bidang pertanian secara langsung selain mengadakan sesi interaktif bersama jurulatih profesional dan pendidik dari MARDI dan institusi penyelidikan lain.

Bukan itu sahaja, program ini turut melibatkan interaksi dengan orang industri dan pakar pertanian dunia sebenar, selain pengisian yang tertumpu pada bidang seperti keselamatan makanan, biodiversiti, kelestarian dan sains alam sekitar.

Malah program ini turut merangkumi kaedah pembelajaran secara digital agar peserta dapat berkongsi apa yang mereka pelajari bersama rakan-rakan lain. Orang ramai juga boleh mendaftar sebagai jurulatih untuk melatih peserta dalam program tersebut.

Menurut Ketua Pengurusan Teknologi dan Kepakaran MARDI Corporation Faizal Ramli, program AGREX adalah satu pengalaman ‘percutian pendidikan’ di mana peserta dapat mengembara sambil mempelajari selok-belok pertanian pada masa yang sama.

Kami tampil dengan idea untuk menggabungkan pendidikan, agro dan pelancongan. Program ini akan menyediakan latihan pertanian sepenuhnya. Kami akan mengajar dan menunjukkan kepada anda proses pertanian, ekonomi dan pembuatan. Pada akhir program, kami akan memberikan anda sijil.

Faizal dalam masa sama turut menekankan bahawa program ini juga bertujuan untuk menghubungkan semula rakyat Malaysia yang dulu sinonim dengan bidang pertanian.

“Pertanian adalah endemik kepada budaya Malaysia. Jadi apa yang AGREX mahu lakukan ialah mengembalikan budaya itu. Kami mahu membawa generasi baharu kembali ke bidang pertanian, bukan sahaja sebagai kerjaya yang berpotensi tetapi juga untuk pengetahuan.

Ketua Pengurusan Teknologi dan Kepakaran Perbadanan MARDI, Faizal Ramli

Semua orang boleh jadi petani!

Pengasas dan Pengarah Urusan Boxcube Travelers, Eli Ken mengaitkan AGREX dengan ‘kem musim panas’ di mana orang ramai dari semua peringkat umur boleh menyertai sambil belajar daripadanya.

Eli menjelaskan bahawa AGREX mahu memupuk pemikiran bahawa semua orang boleh menjadi petani dan menerima amalan pertanian yang mampan, walaupun dari keselesaan rumah moden mereka, dengan pengetahuan yang betul.

“Daripada hanya perjalanan biasa, terdapat banyak perkara yang perlu dibincangkan tentang topik ini kerana ia melibatkan perkara seperti keselamatan makanan dan kemampanan. Kami merasakan bahawa ini adalah perkara penting untuk semua orang terlibat. Kita boleh menjadi pengguna agro-budaya dan mengamalkannya dalam suasana moden. Tak bermakna kita kena balik kampung tau.”

Pengasas dan Pengarah Urusan Boxcube Travelers Eli Ken

Ketahui lebih lanjut tentang AGREX melalui portal rasmi mereka atau menerusi halaman Facebook dan Instagram mereka.

Anda juga boleh mengunjungi gerai AGREX (A52) yang dibuka sekarang di festival Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) di MAEPS, Serdang dari 4 – 18 Ogos.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.