1 Maut & 9 Cedera, Mat Rempit Kemalangan Ketika Berlumba Di Highway LEKAS [Video]
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku semasa kesemua penunggang motosikal terbabit sedang bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban melalui Lebuhraya LEKAS.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui, isu kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal di Malaysia adalah tinggi berbanding kenderaan lain.
Pun begitu, masih ada segelintir penunggang motosikal yang mengambil mudah perkara tersebut kerana terus membahayakan diri dengan menunggang secara melulu atau berlumba haram sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Tular video sekumpulan mat rempit terlibat dalam kemalangan di LEKAS
Seperti baru-baru ini, tular beberapa video di media sosial yang memaparkan sekumpulan mat rempit sedang berlumba haram sebelum sebahagian daripada kumpulan itu terlibat dalam kemalangan.
Menerusi perkongsian beberapa video di laman Twitter dan Facebook, kejadian tersebut dipercayai berlaku di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) semalam (10 Julai).
Berdasarkan video tersebut, kelihatan sekumpulan mat rempit sedang menunggang motosikal secara laju dan berbahaya secara beramai-ramai.
Beberapa penunggang motosikal terbaring di atas jalan
Namun dalam video berasingan pula, kelihatan beberapa individu dipercayai daripada kumpulan sama sedang terbaring di atas jalan selepas terlibat dalam kemalangan.
Susulan itu, beberapa orang awam dan penunggang motosikal lain berada di lokasi untuk membantu mangsa yang terlibat sementara menunggu ambulance tiba.
Turut kedengaran seorang lelaki bertanya nama ayah salah seorang mangsa yang terbaring untuk dihubungi bagi memaklumkan mengenai keadaan anaknya.
“Ayah encik nama apa? Ingat?” kata lelaki itu.
*"KEJAYAAN" PELUMBA² HIGHWAY LEKAS MALAM TADI KALAU TAK SILAP
— MYNEWSHUB (@mynewshub) July 10, 2023
* AMBULAN NAMPAK 5 -6 BIJI SAMPAI.. pic.twitter.com/rvWyO7JrIi
Seorang maut, 9 yang lain cedera
Menurut pihak polis, dalam kemalangan itu seorang maut manakala sembilan yang lain mengalami kecederaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, DSP Mat Ghani Lateh berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 11.30 malam semalam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku semasa kesemua penunggang motosikal terbabit sedang bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban melaluki lebuhraya LEKAS.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.
“Seorang penunggang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lima penunggang cedera parah dan empat penunggang lain mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (11 Julai).
Mangsa yang maut dan cedera telah dibawah ke Hospital Tuanku Jaafar
Menurutnya lagi, kesemua mangsa yang berumur lingkungan 18 hingga 20 tahun telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut.
Manakala mangsa yang maut pula dibawah ke hospital sama untuk proses bedah siasat. Kes turut diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berkongsi lanjut, beliau turut menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika memandu atau menunggang motosikal bagi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336,” katanya lagi.