Baru-baru ini, tular di media sosial satu insiden yang menyayat hati apabila seorang remaja lelaki terpaksa menempuh saat duka dalam dirinya selepas kehilangan enam ahli keluarga dalam kemalangan jalan raya.
Beberapa video yang sohor di media sosial juga memperlihatkan remaja yang berusia 19 tahun itu sedang menangis semasa berada di dalam sebuah masjid bersama jenazah ahli keluarganya.
Lebih menyentuh hati, remaja yang dikenali sebagai Abdur Rahmad Amir Ruddin itu juga mengimamkan solat jenazah keenam-enam ahli keluarganya.
Susulan itu, sebuah syarikat umrah yang dikenali sebagai Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd ingin menawarkan pakej percuma mengerjakan umrah kepada Abdur Rahman selepas membaca berita mengenai tragedi itu.
Pemilik Syarikat, Jay Ibrahim berkata dia tersentuh jiwa apabila melihat Abdur Rahman mengimamkan solat jenazah kesemua ahli keluarganya dan memahami ujian berat yang dihadapi remaja itu kehilangan insan tersayang dengan sekelip mata.
“Kami tahu dugaan dihadapinya sangat berat, jadi kami beri dia peluang merawat jiwa laranya di hadapan Kaabah, biar dia mengadu pada Allah atas kesedihannya selepas hilang enam ahli keluarga serentak,” katanya dipetik Berita Harian.
Menurutnya, dia tidak mampu meringankan beban kesedihan yang dihadapi oleh Abdur Rahman, namun dapat memberi peluang kepada pemuda itu untuk merawat jiwa laranya di tempat terbaik iaitu di hadapan Kaabah.
“Biar dia mengadu kepada Allah dan berdoa di makam Rasulullah. Mungkin dengan cara ini, Abdur Rahman dapat membina semula kekuatan dirinya yang kini sebatang kara.
“Kita berharap Abdur Rahman dapat menerima takdir ini dengan tabah,” katanya yang berkunjung ke rumah keluarga Abdur Rahman di Muar, Johor.
Difahamkan, kemalangan melibatkan tujuh ahli keluarga Abdur Rahman itu berlaku pada petang Jumaat (1 September) ketika mereka dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar ibunya yang bertugas sebagai guru Sekolah Agama Kemedak.
Dalam kemalangan itu, mangsa yang meninggal dunia ialah pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Noorahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Manakala seorang lagi anak mereka, Abdullah yang berusia 15 tahun parah dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
Sementara itu, Jay berkata dia menyerahkan kepada Abdur Rahmah untuk menentukan sendiri tarikh yang sesuai untuk ke Tanah Suci dan sedia menguruskannya jika remaja itu mahu segera ke Mekah.
“Jika dia mahu pergi sekarang, mungkin baik juga kerana dia boleh mendoakan kesihatan adiknya, Abdullah yang parah dan masih dirawat di ICU Hospital Segamat.”
Pemilik syarikat umrah, Jay Ibrahim
Berkongsi lanjut, Jay berkata Abdur Rahman sangat terharu dengan peluang yang ditawarkan itu namun berbelah bagi untuk meninggalkan adiknya yang masih dirawat di hospital.
“Jadi saya minta dia berbincang dulu dengan waris keluarganya. Mereka ahli keluarga yang baik, Abdur Rahman sendiri adalah bilal dan arwah ayahnya seorang imam, manakala arwah adik-adiknya hafaz al-Quran,” ujar Jay.
Terdahulu, polis dalam satu kenyataan mengesahkan kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6.37 petang 1 September berpunca daripada sebuah lori membawa muatan pasir yang hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, lori berkenaan kemudiannya bertembung dengan kereta jenis Perodua Alza dinaiki tujuh beranak itu menyebabkan lima daripada mereka maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.
Menurut Ketua Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir setakat suku pertama tahun 2024…
Jelas Wan, anaknya sebelum ini telahpun meminta izin untuk menggunakan kenderaan miliknya, namun dia belum…
Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan peserta dapat mengenali antara satu sama lain…
Kanak-kanak berkenaan turut menganggap hari itu merupakan hari Khamis ketika disoal oleh ibunya sedangkan hari…
Pemindahan wang simpanan ke dalam Akaun Fleksibel boleh dilakukan bermula kelmarin (12 Mei) hingga 31…
Menurut pejuang kanser itu dia mengalami rasa sakit di bahagian tulang belakang bagi tempoh yang…