fbpx
Now Reading
Remaja Hilang Enam Ahli Keluarga Dalam Kemalangan Di Segamat Ditaja Pakej Umrah Percuma

Remaja Hilang Enam Ahli Keluarga Dalam Kemalangan Di Segamat Ditaja Pakej Umrah Percuma

Menurut pemilik syarikat, tawaran pakej umrah percuma kepada remaja itu adalah untuk memberi peluang kepadanya merawat hati yang sedang lara di hadapan Kaabah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial satu insiden yang menyayat hati apabila seorang remaja lelaki terpaksa menempuh saat duka dalam dirinya selepas kehilangan enam ahli keluarga dalam kemalangan jalan raya.

Beberapa video yang sohor di media sosial juga memperlihatkan remaja yang berusia 19 tahun itu sedang menangis semasa berada di dalam sebuah masjid bersama jenazah ahli keluarganya.

Lebih menyentuh hati, remaja yang dikenali sebagai Abdur Rahmad Amir Ruddin itu juga mengimamkan solat jenazah keenam-enam ahli keluarganya.

@mir4aeee

hilang sorang pun dah tak keruan, lagikan hilang semua 😢 semoga terus kuat. Tinggi Allah nak angkat darjat awak #kemalanganmautsegamat #jenazah6beranak #alfatihah

♬ original sound – MVM Music – MVM Music

Syarikat umrah tawar pakej percuma kepada Abdur Rahman

Susulan itu, sebuah syarikat umrah yang dikenali sebagai Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd ingin menawarkan pakej percuma mengerjakan umrah kepada Abdur Rahman selepas membaca berita mengenai tragedi itu.

Pemilik Syarikat, Jay Ibrahim berkata dia tersentuh jiwa apabila melihat Abdur Rahman mengimamkan solat jenazah kesemua ahli keluarganya dan memahami ujian berat yang dihadapi remaja itu kehilangan insan tersayang dengan sekelip mata.

“Kami tahu dugaan dihadapinya sangat berat, jadi kami beri dia peluang merawat jiwa laranya di hadapan Kaabah, biar dia mengadu pada Allah atas kesedihannya selepas hilang enam ahli keluarga serentak,” katanya dipetik Berita Harian.

Beri peluang kepada Abdru Rahman rawat jiwa lara di hadapan Kaabah

Menurutnya, dia tidak mampu meringankan beban kesedihan yang dihadapi oleh Abdur Rahman, namun dapat memberi peluang kepada pemuda itu untuk merawat jiwa laranya di tempat terbaik iaitu di hadapan Kaabah.

“Biar dia mengadu kepada Allah dan berdoa di makam Rasulullah. Mungkin dengan cara ini, Abdur Rahman dapat membina semula kekuatan dirinya yang kini sebatang kara.

“Kita berharap Abdur Rahman dapat menerima takdir ini dengan tabah,” katanya yang berkunjung ke rumah keluarga Abdur Rahman di Muar, Johor.

Kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan hantar ibu bertugas di sekolah agama

Difahamkan, kemalangan melibatkan tujuh ahli keluarga Abdur Rahman itu berlaku pada petang Jumaat (1 September) ketika mereka dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar ibunya yang bertugas sebagai guru Sekolah Agama Kemedak.

Dalam kemalangan itu, mangsa yang meninggal dunia ialah pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Noorahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Manakala seorang lagi anak mereka, Abdullah yang berusia 15 tahun parah dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Sementara itu, Jay berkata dia menyerahkan kepada Abdur Rahmah untuk menentukan sendiri tarikh yang sesuai untuk ke Tanah Suci dan sedia menguruskannya jika remaja itu mahu segera ke Mekah.

“Jika dia mahu pergi sekarang, mungkin baik juga kerana dia boleh mendoakan kesihatan adiknya, Abdullah yang parah dan masih dirawat di ICU Hospital Segamat.”

Pemilik syarikat umrah, Jay Ibrahim

Abdur Rahman berbelah bagi untuk tinggalkan adik yang masih dirawat di ICU

Berkongsi lanjut, Jay berkata Abdur Rahman sangat terharu dengan peluang yang ditawarkan itu namun berbelah bagi untuk meninggalkan adiknya yang masih dirawat di hospital.

“Jadi saya minta dia berbincang dulu dengan waris keluarganya. Mereka ahli keluarga yang baik, Abdur Rahman sendiri adalah bilal dan arwah ayahnya seorang imam, manakala arwah adik-adiknya hafaz al-Quran,” ujar Jay.

Kemalangan berpunca daripada sebuah lori bawa muatan pasir hilang kawalan

Terdahulu, polis dalam satu kenyataan mengesahkan kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6.37 petang 1 September berpunca daripada sebuah lori membawa muatan pasir yang hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, lori berkenaan kemudiannya bertembung dengan kereta jenis Perodua Alza dinaiki tujuh beranak itu menyebabkan lima daripada mereka maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.