fbpx
Now Reading
Tiada Kasino Akan Dibuka & Beroperasi Di Forest City – MB Johor

Tiada Kasino Akan Dibuka & Beroperasi Di Forest City – MB Johor

Jelas MB Johor itu lagi, Agong juga telah bertitah bahawa baginda tidak akan membenarkan mana-mana kasino dibuka di negeri Johor.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, terdapat desas-desus yang mengatakan kasino akan dibuka di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.

Menurut laporan MalaysiaKini yang memetik Bloomberg, projek tersebut bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) di mana ia berkemungkinan menjadi projek gajah putih.

Portal terbabit juga melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjumpa dengan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vicent Tan serta bekas Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Genting Hong Kong Ltd, Tan Sri Lim Kok Thay dalam satu mesyuarat makan tengah hari untuk membincangkan tentang projek tersebut.

Susulan daripada desas-desus itu, Anwar Ibrahim kemudiannya tampil menafikan laporan yang mendakwa kerajaan akan meluluskan satu lagi kasino berlesen di negeri terbabit.

“Tiada kasino berlesen…tipu…tidak betul,” katanya, lapor Berita Harian.

Onn Hafiz tegaskan tiada kasino akan dibuka di Johor

Terbaharu Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi turut tampil menegaskan tiada kasino akan dibuka mahupun beroperasi di Johor.

Malah beliau menyatakan Kerajaan Negeri Johor akan memberikan nafas baru dengan kegiatan ekonomi yang lebih rancak di Forest City.

Khabar angin ada unsur sabotaj dan berniat jahat untuk cemarkan imej Forest City dan negeri Johor

Selain itu, Onn Hafiz turut berpendapat khabar angin mengenai kasino itu dilihat mempunyai unsur sabotaj untuk mencemarkan imej Forest City dan negeri Johor

“Berikutan tular berita kasino bakal dibuka di Forest City, Johor Bharu. Kerajaan Negeri Johor ingin menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini.

“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Negeri Johor yakin bahawa Forest City akan diberikan nafas baru dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Semua sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan sedang giat berusaha untuk merancak dan mempertingkatkan ekonomi Johor agar memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.

“Justeru, khabar angin yang tular ini dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya,” jelasnya dalam satu kenyataan di X.

Tidak terima sebarang jemputan atau cadangan untuk bincang hal terbabit, Agong tak benarkan buka kasino di Johor

Kata Adun Machap itu lagi, kerajaan negeri itu juga tidak pernah menerima sebarang jemputan untuk membincangkan mengenai isu terbabit, apatah lagi terlibat untuk dirujuk mengenainya.

Ujar beliau lagi, pihaknya juga tidak ada menerima apa-apa cadangan atau menghadiri mana-mana mesyuarat bagi membincangkan hal itu.

Bukan hanya itu, beliau turut memaklumkan semasa zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim sebanyak tiga kasino telah ditutup.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa Baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini.

“Dengan penegasan ini, Kerajaan Negeri berharap isu ini tidak lagi diperpanjang dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.