Kedudukan Merosot Dalam Indeks Kebebasan Media, Bukan Salah Kementerian Sepenuhnya – Fahmi Fadzil
Menurut Fahmi Fadzil, undang-undang di bawah kementerian berbeza turut dilihat mempengaruhi laporan yang dikeluarkan oleh RSF.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada minggu lalu, hangat diperkatakan mengenai kedudukan Malaysia yang merosot dan jatuh sebanyak 34 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), Malaysia berada di kedudukan 107 berbanding kedudukan yang ke-73 pada tahun lalu.
Malah, Malaysia yang sebelum ini berada di kedudukan pertama jika dibandingkan dengan negara Asia lain tidak dapat mempertahankan kedudukan itu apabila kini berada di tangga kedua dan dipintas oleh negara jiran, Thailand.
Penemuan ini nyata mengejutkan ramai pihak. Antara faktor yang dikatakan menyumbang kepada kemerosotan prestasi Malaysia adalah tindakan kerajaan yang menyekat perkongsian mengenai kritikan kepada kerajaan serta sensitiviti terhadap kaum, agama dan raja.
Baca Artikel Berkaitan: Kedudukan Malaysia Merosot Dalam Indeks Kebebasan Media, Bukan Lagi Nombor 1 Di ASEAN
Bukan Salah Kementerian Komunikasi Sepenuhnya
Terbaharu, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, kejatuhan kedudukan Malaysia dalam indeks tersebut bukanlah semata-mata disebabkan oleh Kementerian Komunikasi.
Namun, ia juga membabitkan undang-undang di bawah kementerian berbeza yang dilihat turut mempengaruhi laporan yang dikeluarkan oleh RSF.
“Sebagai contoh isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kita tahu pendirian Malaysia mengenai isu tersebut dan kesesuaian beberapa perkara dalam acuan sama ada Asean atau ketimuran.
“Jadi saya rasa kita ambil maklum (kedudukan tersebut). Saya juga alu-alukan kesediaan RSF yang telah memuat naik ciapan dalam X menyatakan mereka sedia bekerjasama.
“Saya terima hasil itu dengan hati terbuka dan akan adakan perbincangan dengan pihak RSF untuk meneliti mungkin langkah-langkah yang mereka boleh cadangkan,” katanya.
Langkah-Langkah Yang Diambil Perlu Dinilai Mengikut Kesesuaian
Walau bagaimanapun jelas beliau, langkah-langkah yang diambil perlu dinilai kesesuaiannya terlebih dahulu.
“Sebagai contoh ada Ahli Parlimen yang mengatakan kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel iaitu Malaysia dia kedudukan 107 manakala Israel lebih kurang di kedudukan 101.
“Tetapi berbeza dengan Israel, kita tidak membunuh orang seperti yang berlaku di Gaza. Kita juga tidak menutup mana-mana media seperti semalam (5 Mei) Israel menutup serta menggeledah pejabat Al- Jazeera.
“Jadi saya rasa kedudukan ini adalah mungkin satu kayu ukur, tetapi bukan kayu ukur yang sejati, ia juga kayu ukur yang ‘golden standard’ tetapi ia untuk kita meneliti, mempertimbang dan mungkin ada tindakan yang boleh kita tambah baik,” ujarnya.
Jelas Fahmi lagi, beliau bakal menjadi menteri komunikasi yang pertama bertemu RSF bagi membincangkan dengan lebih lanjut langkah yang boleh diambil.
“Jadi saya harap pertemuan ini nanti boleh memaklumkan apa langkah yang mereka cadangkan namun kita tidak semestinya menerima bulat-bulat cadangan mereka tetapi ia mungkin untuk kita kaji dengan mendalam dan lihat apa yang sesuai untuk Malaysia,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan pertemuan itu belum dimuktamadkan lagi namun pihaknya akan membuat tindakan susulan.
Baca Artikel Berkaitan: SKMM Nafi Sekat & Padam Akaun TikTok Sanusi
Baca Artikel Berkaitan: Cikgu Fadli Gesa Kerajaan Pinda Akta Yang Sekat Suara & Kreativiti Guru [Video]