SKMM Nafi Sekat & Padam Akaun TikTok Sanusi
Mengulas mengenai akaun TikTok MB Kedah itu, platform media sosial mempunyai Community Guidelines untuk menentukan tindakan boleh diambil terhadap pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikTok milik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
SKMM dalam satu kenyataan semalam (16 Julai) menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang arahan berhubung isu berkenaan.
“SKMM meneliti kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menuduh kerajaan menghalang akses atau memandam kandungan akaun TikTok beliau,” katanya.
Platform media sosial punyai garis panduan komuniti (Community Guidelines)
Jelas SKMM lagi, platform-platfrom media sosial mempunyai garis panduan komuniti (Community Guidelines) yang menentukan tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pengguna secara automatik apabila terdapat pelanggaran terhadap panduan tersebut, mahupun berdasarkan aduan orang ramai.
“Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti,” katanya lagi.
Sanusi bengang akaun TikTok miliknya disekat
Terdahulu, Muhammad Sanusi bengang apabila akaun TikTok miliknya disekat sejak kelmarin (15 Julai). Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai menghalang usahanya untuk berkempen secara dalam talian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun miliknya itu untuk memudahkan beliau mendekati rakyat khususnya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.
“TikTok (saya) dah tiadalah malam ni (sebab) kena padam. 5.2 juta ‘like’ habis (hilang), pengikut pun juta juga, nak buat lain kena cari seorang demi seorang lambat.
“Kalau betul mereka anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya dalam satu ceramah di Baling, Sabtu malam menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok lain.
Sanusi dakwa Malaysia sedang bergerak seperti Korea Utara
Pada masa sama, Menteri Besar Kedah itu turut mendakwa tindakan itu seolah-olah Malaysia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sedang bergerak menjadi seperti negara Korea Utara.
Dakwa Sanusi lagi, perbuatan itu seolah-olah kerajaan takut dengan kebebasan media selain ianya menyebabkan beliau dan Perikatan Nasional (PN) tidak mampu menangkis serangan dimainkan oleh pihak lawan.
“Itulah zaman pemerintahan PH campur BN ini, negara Malaysia sedang bergerak menjadi Korea Utara.
“Korea Utara ini negara komunis, dia sekat semua media tak bagi rakyat tahu apa-apa dengar dan patuh sahaja,” ujarnya.