“Besar Pahala Dia” – Tindakan Mutawif Gigih Pimpin Jemaah Buta Ke Depan Kaabah Raih Pujian [Video]
Seorang mutawif telah membantu perjalanan jemaah umrah buta di Masjidil Haram untuk menuju ke Kaabah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Buat setiap para Muslim di luar sana, sudah pasti menjejakkan kaki ke Tanah Suci merupakan impian yang paling bermakna.
Malah, ia juga akan menjadi momen dan kenangan terindah buat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai cabaran mereka tersendiri sekiranya berpeluang memegang Kaabah.
Mutawif Pimpin Jemaah Umrah OKU Penglihatan Menuju Ke Kaabah
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@umrahandalusiadotcom), menyaksikan detik bermakna buat beberapa para jemaah umrah di Tanah Suci Mekah.
Menerusi video dikongsi, kelihatan seorang mutawif sedang memimpin pergerakan para jemaah di depan Masjidil Haram bagi menuju ke Kaabah.
Situasi berkenaan menjadi sebak kerana sesetengah jemaah yang dipimpin adalah golongan OKU penglihatan. Mutawif tersebut telah memimpin mereka menggunakan tongkat lipat sepanjang perjalanan yang sesak dengan umat Islam di kawasan itu.
Para jemaah yang berkumpul dalam barisan berkenaan memegang tongkat lipat dan kemudian berjalan secara perlahan diiringi mutawif mereka. Perjalanan untuk mendekati Kaabah juga dimulakan dengan bacaan doa.
Ada Jemaah Menangis Sebak Dapat Mendekati Kaabah
Walaupun dalam keadaan bersesak, ia tidak mematahkan semangat para jemaah untuk berusaha dengan gigih mendekati Kaabah. Bahkan ada juga di antara mereka dilihat mengalirkan air mata apabila dapat menghampiri Kaabah.
Situasi itu sememangnya membuatkan orang ramai berasa sebak.
Sesudah semuanya selesai, mereka kemudian menunaikan solat secara berjemaah di hadapan Kaabah. Alhamdulillah, besar rezeki para jemaah.
Netizen Puji Mutawif Kerana Gigih Bantu Golongan OKU
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dilihat memuji mutawif kerana berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan keselamatan para jemaah selain membawa mereka mendekati Kaabah.
“Siapa lelaki yang memimpin mereka? Respect kepada dia. Dia akan dapat ganjaran pahala yang banyak dalam kehidupannya,” kata seorang individu.
Ramai juga warganet berasa insaf melihat golongan OKU yang gigih merentasi lautan jemaah umrah di sana walaupun mempunyai sedikit cabaran.
“Orang yang dah tentu masuk syurga pun masih sujud. Aku yang macam ni pun susah sangat nak sujud, cuba banyak kali untuk berubah lama-lama terpesong balik,” ujar seorang lelaki.
Sementara itu ramai juga telah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seorang wanita dipercayai warga Arab Saudi yang turut membantu melancarkan perjalanan para jemaah.
“Kepada makcik yang jaga laluan tu, semoga Allah permudahkan urusannya,” jelas seorang netizen.
Baca Artikel Berkaitan: “Nabi Muhammad SAW Kirim Salam..” & Pengalaman Lain Jemaah Ketika Di Tanah Suci Mekah
Baca Artikel Berkaitan: “Kau Memang Terbaik Dik” – Anak Hadiahkan Ibu Bapa Pakej Umrah Iktikaf Ramadan Dipuji Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Tak Sangka, Cikgu Hadiahkan Pakej Umrah Sempena Hari Persaraan