Pelajar Tak Sangka, Cikgu Hadiahkan Pakej Umrah Sempena Hari Persaraan
Menurut pelajar, Mohd Daniel sewaktu nombor bertuah diumumkan dia sangat terkejut dan teragak-agak untuk mengambilnya kerana rasa ia seperti mimpi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap umat Islam di muka bumi ini pastinya ingin menunaikan ibadah umrah dan haji sekiranya diberikan kesempatan dan peluang.
Meskipun tahu ia bukan suatu peluang yang mudah untuk dimiliki oleh semua orang namun sebagai hambaNya kita perlulah berusaha dan berdoa agar dijemput Allah SWT suatu hari nanti.
Guru beri pelajar hadiah pakej umrah sempena hari bersara
Namun bagai sudah tertulis rezekinya, seorang pelajar lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu terkejut dihadiahkan pakej umrah oleh gurunya bersempena hari persaraan beliau yang disambut pada hari ini (8 Februari).
Pakej tersebut diberikan oleh guru dikenali sebagai Ahmad Zaki kepada Mohd Daniel Hakim Faiz Teng yang merupakan pelajar tingkatan dua melalui cabutan bertuah yang dilakukan di depan lebih daripada 1,000 pelajar dan guru di sekolah tersebut.
Pelajar berusia 14 tahun itu menerima hadiah tersebut dalam keadaan sebak dan mengalirkan air mata.
Malah dia turut memeluk guru yang mengajar dalam subjek Pendidikan Islam serta Bahasa Arab sebaik menaiki pentas untuk menerima replika hadiah berkenaan.
Bersyukur diberikan peluang menunaikan umrah di usia yang muda
Dia juga turut bersyukur kerana sebelum ini ada menyimpan hasrat untuk ke Mekah bagi menunaikan ibadah umrah itu.
“Ketika nombor (cabutan bertuah) diumumkan, saya sangat terperanjat dan teragak-agak untuk bangun kerana rasa macam mimpi.
“Selepas sekali lagi diumumkan barulah saya bangun dan berjalan ke arah pentas untuk menerima hadiah yang sangat bermakna itu.
“Pakej umrah yang saya terima ini akan saya kenang hingga akhir hayat kerana ada juga menyimpan angan-angan untuk ke Mekah dan Madinah tapi agak mustahil kerana masih bersekolah dan keluarga juga bukan orang senang,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Tak sangka hasrat disimpan jadi kenyataan
Pelajar yang merupakan anak sulung daripada dua beradik sama sekali tidak menyangka hasratnya untuk menunaikan umrah itu dimakbulkan oleh Allah SWT pada usia yang muda.
Malah dia mahu berkongsi berita gembira itu bersama bonda yang juga ibu tunggal dan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
Tergerak hati untuk beri hadiah kepada pelajar lepas pulang dari mengerjakan umrah
Dalam pada itu, guru berusia 60 tahun itu mendedahkan beliau tergerak hati untuk memberi hadiah tersebut kepada pelajar sebagai kenangan sepanjang hayat bersempena dengan hari persaraannya yang sudah menjadi pendidik selama 31 tahun.
Tambah Ahmad Zaki, impian untuk memberikan hadiah tersebut timbul selepas pulang dari umrah pada baru-baru ini dan terfikir untuk memberikan satu hadiah yang bermakna.
Guru itu bagaimanapun tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai hasrat tersebut sehingga tiba beberapa hari sebelum meraikan hari persaraannya.
“Alhamdulillah, hasrat saya itu mendapat sokongan dari pihak sekolah termasuk keluarga dan tahniah kepada pelajar yang saya anggap insan terpilih menerima cabutan bertuah ini.
“Insya-Allah pelajar berkenaan akan pergi umrah bersama saya pada Disember ini dan tajaan berkenaan merangkumi pakej penuh malah saya juga akan memberikan sedikit wang saku untuk perbelanjaannya di sana nanti.”
Video mengenai pelajar itu menerima pakej umrah tersebut turut dikongsi oleh Sinar Harian di TikTok.