Dividen ASB Tahun 2023 Naik Kepada 5.25 Sen Seunit
Jumlah pengagihan pendapatan itu meliputi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) pada hari ini (21 Disember) telah mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit kepada kesemua pemegang unit bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2023.
Agihan tersebut meliputi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.
Kadar itu meningkat 0.65 sen seunit berbanding dividen pada tahun lalu.
PNB turut memaklumkan jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM9.3 bilion akan memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB pada tahun ini.
Pengagihan pendapatan juga dilihat mengatasi Pulangan Kadar Deposit Tetap sebanyak 240 mata asas iaitu sebanyak 2.85%.
Dalam pada itu, ASNB menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook (Amanah Saham Nasional Berhad) turut memberitahu bahawa urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk platform digital dan perbankan internet akan ditangguhkan dari 22 hingga 25 Disember 2023.
“Urus niaga pelaburan ini akan diambil kira untuk baki minimum bulanan pada Januari 2024, membolehkan pemegang unit menikmati pengiraan penuh pengagihan pendapatan mulai Januari 2024,” kenyataan ASNB dalam hantaran Facebook.
Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di semua platform digital dan perbankan internet bermula 1 Januari 2024 atau di mana-mana cawangan termasuk ejen ASNB bermula 2 Januari 2024.
ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
— ASNB (@ASNBmy_official) December 21, 2023
Jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit meliputi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit. pic.twitter.com/ZxqQ0gu3ax
Dividen ASB Pada Tahun 2022
Pada tahun lalu, PNB mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 4.60 sen seunit kepada kesemua pemegang unit dengan agihan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit.
Dalam pada itu, PNB juga mengumumkan bonus tambahan sebanyak 0.50 sen seunit dan hanya terhad kepada 30,000 unit pertama sahaja pada tahun 2022.
Baca Artikel Berkaitan: Dividen ASB 2022 4.60 Sen Seunit & Bonus Khas 0.50 Sen Seunit Kepada 30,000 Unit Pertama