
Lelaki Warga Singapura Gaduh Guna Tongkat Di Lebuh Raya Didenda RM5,500
Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhi hukuman terhadap Soh Kian Hui selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular video satu kes pergaduhan membabitkan seorang warga Singapura dengan seorang lelaki di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh, Muar, Johor.
Menerusi video yang tular, lelaki berkenaan yang memandu kereta Mitisubishi Lancer dilihat memukul seorang pemandu Toyota Fortuner menggunakan tongkat.
Insiden yang berlaku pada Sabtu (10 Februari) lalu pada jam 1:58 tengahari kemudiannya mencetuskan kemarahan orang ramai yang mahukan dia ditahan dan dikenakan tindakan tegas.
Suspek kemudiannya berjaya ditahan di Genting Highlands dan direman selama empat hari.
Gaduh guna tongkat di lebuh raya, polis sahkan terima satu laporan
— MYNEWSHUB (@mynewshub) February 10, 2024
MUAR: Polis mengesahkan video tular memaparkan pergaduhan membabitkan pengguna jalan raya termasuk ada yang dilihat menggunakan tongkat kayu, berlaku di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Pagoh, di… pic.twitter.com/O9zwIKOXVc
Terbaharu lelaki terbabit, Soh Kian Hui, 45, dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Muar.
Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman terhadapnya selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, pemandu teksi yang berasal dari Singapura itu didakwa dengan niat memecahkan cermin Toyota Fortuner milik rakyat Malaysia, Khairul Husni Shah Jamil, 31, sehingga menyebabkan jumlah kerugian RM2,502.35.
Untuk makluman, hukuman bagi kesalahan itu adalah tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun ataupun denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Ariff Marzuki, manakala tertuduh diwakili oleh Norain Sakina Zikri.
Pihak pendakwaan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah sangat serius. Malah, dalam hujahnya lagi, kejadian tersebut berlaku di lokasi berbahaya dan boleh mencetuskan perkara tidak diingini terhadap pengguna lebuh raya yang lain.
Selepas hujahan kedua-dua belah pihak didengari, mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda dan mengarahkan tertuduh dipenjara untuk tempoh 12 bulan jika gagal membayarnya.
Pecahkan Cermin Guna Tongkat Sebab Tak Puas Hati
Memetik laporan Buletin TV3, fakta kes menunjukkan bahawa tertuduh telah bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan tongkat kerana tidak berpuas hati apabila keretanya itu dihalang daripada menggunakan laluan kecemasan.

Tertuduh kemudian berjaya ditahan oleh pihak berkuasa di Genting Highlands, Pahang, sekitar jam 3:30 pagi (12 Februari).
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa pada saat itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum ternampak Mitsubishi Lancer dipandu tertuduh menggunakan laluan kecemasan.
Oleh yang demikian, keadaan mencetuskan pertengkaran dan tertuduh mengetuk cermin kenderaan mangsa sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
Laluan Kecemasan (Emergency Lane): Siapa Yang Boleh Guna?

(Kredit: Paultan)
Jika dilihat kembali, perkara seperti ini sering berlaku di Malaysia.
Yang boleh lalu di laluan/lorong kecemasan adalah kenderaan kecemasan ketika memberi bantuan contohnya ambulans, polis, bomba, dan seangkatan dengannya.
Kalau ada orang nak salurkan bantuan, berilah laluan. Barulah trafik akan ‘smooth’ sampai ke destinasi yang dituju.
Jadi pemandu yang berhemah, OK?

Siti Murni is a Sponsored Content Writer for BuzzKini. Well, hello to you too! :)