fbpx
Now Reading
PDRM Kenal Pasti Pemilik Akaun Media Sosial Ugut Bunuh Nik Elin

PDRM Kenal Pasti Pemilik Akaun Media Sosial Ugut Bunuh Nik Elin

Ugutan itu diterima setelah peguam terbabit mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Polis telah mengenal pasti pemilik tiga akaun media sosial yang didakwa membuat hantaran mesej berbaur ugutan bunuh terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Ugutan itu diterima setelah peguam terbabit mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, tiga kertas siasatan telah dibuka dengan satu dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Dia memaklumkan bahawa Nik Elin telah membuat tiga laporan pada tahun 2023.

Dua Kertas Siasatan Masih Disiasat

“Kita buka tiga kertas siasatan dengan satu daripadanya sudah selesai dan ada dengan (dirujuk kepada) TPR sejak beberapa minggu lalu,” katanya ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini (14 Februari 2024).

Dalam masa yang sama, dua lagi kertas siasatan masih disiasat dan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada TPR, lapor Harian Metro.

Beliau juga berkata TPR telah memberi arahan tertentu, tetapi setakat ini masih belum ada pendakwaan dan sebarang tangkapan dibuat.

“TPR memberi arahan tertentu tetapi belum lagi ada pendakwaan dan tiada tangkapan setakat ini.”

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid

Nik Elin Terima Ugutan Bunuh

Pada 11 Februari lalu, New Straits Times telah menyiarkan satu wawancara eksklusif podcast ‘Beyond the Headlines’ yang memaparkan Nik Elin bersama anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Di dalam podcast itu, Nik Elin mendedahkan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 menyebabkan dia menerima beberapa ugutan bunuh.

“Banyak ancaman dalam hidup saya, begitu juga serangan melalui dalam talian lain dan (ancaman untuk) ‘sembelih’ saya. Saya sudah tak ingat berapa banyak ancaman yang diterima kerana semua individu ini tidak faham. Kalaulah mereka meluangkan masa untuk membaca dan memahami undang-undang dan sebab di sebalik cabaran (yang saya buat) itu, mereka akan faham.”

Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid

Kedua-dua anak beranak itu mendakwa mereka tidak menyerang sistem syariah seperti yang dianggap orang ramai dan mengulangi kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa “peruntukan dipertikaikan itu bukan ditetapkan oleh Allah SWT”.

PDRM Minta Bantuan SKMM

Pihak polis sebelum ini telah memohon bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tujuan mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang terlibat dalam mengeluarkan ancaman bunuh terhadap Nik Elin.

“Laporan polis berkenaan telah disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” kata Allaudeen.

Berdasarkan laporan oleh Astro Awani, pihak polis turut menasihati orang awam supaya tidak mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan di media sosial.

Tambah Allaudeen, mereka yang bertindak sedemikian boleh dikenakan tindakan mengikut:

  • Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tidak lebih dua tahun.
  • Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM 50,000, penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah Putuskan 16 Peruntukan Di Bawah Enakmen Terbabit Batal

Terdahulu, Nik Elin bersama anaknya yang juga seorang peguam, Tengku Yasmin, mencabar isu perlembagaan bagi membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 kesalahan terbabit adalah batal dan tidak sah. Keputusan itu telah disampaikan oleh Tengku Maimun yang mengetuai panel sembilan hakim.

Menerusi keputusan tersebut, Badan Perundangan Negeri Kelantan kehilangan kuasa bagi menggubal 16 peruntukan terbabit, dan hanya dua undang-undang Seksyen 13 dan 30 yang dibenarkan.

Antara peruntukan yang dicabar adalah Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya), Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat) dan Seksyen 30 (kata-kata memecahkan keamanan).

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Gelar Nik Elin ‘Busybody’

Namun satu-satunya panel yang menentang petisyen itu iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, menyifatkan kedua-dua wanita itu sebagai penyibuk kerana mencabar peruntukan tersebut.

Beliau secara sinis berkata Nik Elin dan Tengku Yasmin tiada hak di sisi undang-undang (tiada locus standi) ketika memfailkan petisyen itu.

“Tiada satu pun alasan yang dikemukakan dalam petisyen itu menunjukkan wujud kontroversi sebenar di antara mereka dan Kerajaan Kelantan atau bagaimana mereka terjejas dengan peruntukan itu,” katanya.

Tegas beliau lagi, isu locus standi sepatutnya diperjelaskan terlebih dulu kerana adalah tidak wajar bagi panel itu melaksanakan bidang kuasa asalnya (inherent jurisdiction) mendengar petisyen itu walhal mereka tiada hak di sisi undang-undang.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.