Konsert Choii Underground Music Tour Tiada Kelulusan, Penganjur Hanya Maklum Adakan Karnival Jualan
Usahawan dan influencer dikenali sebagai Faris Azri selaku pihak penganjur konsert juga tampil memohon maaf secara terbuka menerusi hantaran video di akaun TikTok miliknya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial penganjuran sebuah konsert di Taman Jubli Emas, Alor Setar yang didakwa berlaku pada Sabtu malam lalu (24 Februari).
Penularan video terbabit mendapat kecaman ramai memandangkan pada tarikh tersebut merupakan malam Nisfu Syaaban di mana umat Islam disarankan untuk memperbanyakan amalan dan doa.
Baca Artikel Berkaitan: Tinggal Beberapa Hari Sahaja Lagi! Ini Kelebihan Malam Nisfu Syaaban [Video]
Selain penganjur, pihak kerajaan negeri Kedah juga mendapat tempias kecaman dan dipersoal kerana membenarkan konsert terbabit diadakan pada malam tersebut.
Bagaimanapun, agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri difahamkan tidak memberi permit atau kelulusan untuk penganjuran konsert terbabit.
Pihak penganjur langsung tak nyatakan untuk adakan konsert
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, memang terdapat permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri namun dalam permohonan itu, langsung tidak dinyatakan mengenai cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti yang tular di media sosial.
“Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai perkara itu membabitkan konsert dikenali sebagai ‘Choii Underground Music Tour Kedah 2.0’ di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada malam 24 Februari.
“Penganjur memohon untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan negeri saja dan itulah yang diluluskan.
“Justeru penganjuran konsert adalah tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri dan ini adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh pihak penganjur,” katanya dalam kenyataan semalam (25 Februari) dipetik Harian Metro.
Kerajaan Kedah akan panggil pihak penganjur untuk minta penjelasan
Menurutnya, kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan dan akan memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang selepas itu.
Jelas Mansor, mana-mana pihak yang melanggar syarat selepas diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara akan disenarai hitamkan dalam apa jua program di Kedah pada masa akan datang.
Penganjur konsert, Faris Azri Choii tampil mohon maaf secara terbuka
Sementara itu, usahawan dan influencer dikenali sebagai Faris Azri selaku pihak penganjur konsert berkenaan pada malam semalam telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi hantaran video di akaun TikTok miliknya.
Kata Faris yang juga pemilik jenama pakaian tempatan ‘Choii’, video tular yang memaparkan aksi penonton melompat-lompat itu sebenarnya berlaku pada Jumaat malam dan bukannya malam Nisfu Syaaban.
Namun, ujarnya pada malam Nisfu Syaaban turut berlangsung konsert dan sehubungan itu dia mengakui kesilapan dirinya.
Faris pada masa sama juga ingin membuat permohonan maaf kepada kerajaan negeri Kedah dan menjelaskan pihak terbabit tidak mempunyai kaitan dengan konsert tersebut.