Baru-baru ini, tular di media sosial satu rakaman ‘dashcam’ yang memaparkan tindakan seorang pemandu Perodua Myvi berwarna kelabu (silver) yang melawan arus di lorong kanan sebuah lebuh raya di Johor Bahru, Johor.
Kejadian tersebut mula tular dan meraih perhatian ramai selepas ia dimuat naik seorang wanita dipercayai pemilik rakaman itu di laman Facebook.
Kebanyakan netizen mengecam tindakan pemandu terbabit melawan arus kerana telah membahayakan pengguna jalan raya yang lain selain ingin pihak berkuasa mengambil tindakan dengan segera.
Pihak polis berjaya tahan pemandu lelaki tempatan berusia 74 tahun
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Linkedua, Johor Bahru dipercayai pada 25 Februari lalu.
Menurutnya, bertindak atas maklumat polis kemudiannya berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 74 tahun di Taman Nusa Bayu, Gelang Patah pada jam sekitar 10.50 pagi semalam (26 Februari).
Pemandu baru pertama kali datang ke Johor Bahru, tak tahu selok belok jalan
Ujar Rahmat, hasil siasatan pihaknya mendapati warga emas tersebut berasal daripada Segamat dan baru pertama kali datang ke Johor Bahru selain tidak tahu selok belok jalan di kawasan berkenaan.
“Semasa kejadian suspek dalam perjalanan ke rumah rakannya di Nusa Bayu, Gelang Patah. Suspek tidak tahu selok belok jalan di Johor Bahru dan telah masuk ke jalan yang salah sehingga melawan arus,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987
Berkongsi lanjut, Rahmat berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian tersebut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322,” katanya lagi.