Tak Cukup RM300, Tak Boleh Urus Jenazah Bayi

Hanya kerana tiada wang membayar kos pengebumian sebanyak RM300 dipinta pengurusan jenazah sebuah surau, seorang bapa hampir tidak dapat menyempurnakan pengebumian bayi lelakinya yang meninggal dunia sejurus dilahirkan di hospital, malam tadi.

Disebabkan itu juga, lelaki bekerja sebagai pembantu gerai makan itu terpaksa membawa pulang jenazah bayinya ke hospital semula selepas buntu untuk mengebumikan anaknya yang dilahirkan tidak cukup bulan.

Bagaimanapun, lelaki itu bernasib baik apabila seorang aktivis gerakan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol, 34, atau lebih dikenali sebagai Hery membantu urusan berkenaan sehingga selesai, termasuk membayar kos pengebumian berkenaan.

Mohd Zulhairi ketika dihubungi berkata, dia membantu lelaki itu selepas wakil sebuah hospital menghubunginya pagi hari ini memaklumkan pasangan suami isteri yang tidak cukup wang bagi mengebumikan jenazah bayi lelaki mereka.

Katanya, ketika bertemu, lelaki itu memaklumkan hanya ada RM150 bagi mengebumikan jenazah anaknya selepas pihak pengurusan sebuah surau meminta bayaran RM300.

“Ketika saya berjumpa dengannya, lelaki itu mulanya bertanya berapa jumlah bayaran yang saya kenakan (membantu menguruskan jenazah).

“Saya terharu dan sedih sebelum menyatakan saya lakukan secara ikhlas tanpa mengenakan bayaran.

“Terus lelaki itu memeluk saya sambil memegang jenazah bayinya dan menangis,” katanya yang turut berkongsi kisah itu di akaun Facebooknya, hari ini.

Mohd Zulhairi berkata, dia kemudian membawa lelaki berkenaan bersama jenazah bayinya ke Tanah Perkuburan Sungai Tangkas di Bangi bagi urusan berkenaan.

Katanya, ketika berbual dengan lelaki itu ketika pengebumian, dia memaklumkan pihak pengurusan surau berkenaan memintanya membawa jenazah pulang semula ke hospital selepas dimaklumkan tidak mempunyai wang mencukupi.

“Ketika itu dia membawa jenazah bayinya bagi urusan pengebumian, namun selepas wang dipinta tidak mencukupi, pihak pengurusan surau itu memintanya pulang semula ke hospital.

“Saya sebak dan sedih apabila mendengar kisahnya itu sedangkan urusan yang sepatutnya didahulukan adalah urusan pengebumian dan bukan urusan kewangan,” katanya.

Menurut Mohd Zulhairi, dia dimaklumkan bahawa bayi berkenaan meninggal selepas isterinya lelaki itu terjatuh di dalam tandas dan menyebabkan keguguran.

Katanya, dia kemudian mengambil jenazah bayi itu bagi urusan memandi, mengafan dan mengebumikannya.

“Sepanjang itu, hanya RM60 sahaja yang saya keluarkan bagi proses menggali dan mengebumikan mayat bayi lelaki berkenaan.

“Paling sedih kerana sebagai orang Islam, urusan pengebumian itu sepatutnya didahulukan dan menjadi kewajipan sesama Islam untuk saling membantu, namun itu tidak berlaku,” katanya.

Mereka yang ingin membantu operasi gerakan Amal Team boleh melayari akaun FB, Mohd Zulhairi Zainol.

Sumber : FB Mohd Zulhairi Zainol, HMetro

Recent Posts

  • Gaya Hidup
  • Trending

Amanie Academy Perkenal 2 Platform AI Baru, Inovasi Baru Dalam Pendidikan & Kewangan Islam

Dua platform AI yang diperkenalkan ini, Raida.AI dan AIFA.AI, menunjukkan tekad Amanie Academy terhadap inovasi…

1 day ago
  • Trending

“Besar Pahala Dia” – Tindakan Mutawif Gigih Pimpin Jemaah Buta Ke Depan Kaabah Raih Pujian [Video]

Seorang mutawif telah membantu perjalanan jemaah umrah buta di Masjidil Haram untuk menuju ke Kaabah.

2 days ago
  • News
  • Trending

Tiada Kasino Akan Dibuka & Beroperasi Di Forest City – MB Johor

Jelas MB Johor itu lagi, Agong juga telah bertitah bahawa baginda tidak akan membenarkan mana-mana…

2 days ago
  • Trending

Ramai Sokong Kelantan Miliki Paling Ramai Lelaki Kacak, Kedah Pula Kelakar

Menurut kebanyakan komen, lelaki Kelantan dilihat lebih kacak kerana kebanyakan mereka mempunyai kacukan darah Melayu-Siam.

2 days ago
  • Trending

“Ini Baru Cantik”- Ramai Puji Aisar Khaled Bantu Bersih & Cantikkan Rumah Warga Emas [Video]

Menerusi video berkenaan, kelihatan warga emas itu sangat teruja sebaik melihat rumahnya kembali cantik dan…

2 days ago
  • News
  • Trending

Lelaki Rempuh Kereta Kerana Berang Pasangan Kekasih Bertengkar

Menerusi video turut kelihatan kereta berwarna putih berkenaan meluru laju melanggar kenderaan berwarna hitam sebaik…

2 days ago