Keadilan Milik Zulfarhan, Ayah Sujud Syukur dan Menangis di Mahkamah
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bapa Zulfarhan Osman Zulkarnain menangis sambil sujud syukur sebaik saja selesai prosiding akhir pendakwaan kes kematian Pegawai Kadet Laut itu di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Tindakan spontan Zulkarnain Idros yang menyentuh perasaan itu sempat dirakam jurukamera daripada pelbagai agensi media sebelum beliau bangun dan menjawab ringkas pertanyaan pemberita.
Zulkarnain berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri atas kes kematian Zulfarhan, dua tahun lalu.
Ibu Zulfarhan, Hawa Osman, ketika diminta mengulas pula berkata doanya dimakbulkan dan berharap pelaku akan mendapat pembalasan sewajarnya.
“Pemergian (Zulfarhan) masih terasa, setiap malam dengar suara. Saya tidak akan melupakan arwah,” katanya.
Terdahulu, Hakim Datuk Azman Abdullah memerintahkan 18 penuntut UPNM untuk membela diri atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan mangsa dalam kejadian 21 hingga 22 Mei 2017.
Seorang lagi penuntut UPNM, Muhammad Akmal Akif Alias, 23, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mencederakan Zulfarhan.
Sumber : BH Online