fbpx
Now Reading
“Bukan isteri saya pergi mencari durian…” – Ini Penjelasan Bapa Bayi 3 Bulan Terkena Durian

“Bukan isteri saya pergi mencari durian…” – Ini Penjelasan Bapa Bayi 3 Bulan Terkena Durian

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

“Durian itu jatuh mengenai isteri saya terlebih dahulu, barulah melantun ke kepala anak.

“Kalau betul-betul jatuh atas kepala, mungkin anak saya lagi teruk daripada ini,” kata Megat Zarulfais Megat Kamaruddin.

Menurut bapa berusia 26 tahun itu, kecederaan anak lelakinya, Megat Muhammad Kays Muhaddin yang berusia tiga bulan tidak cedera teruk berbanding isterinya yang lebam pada dada akibat terkena duri raja buah seberat kurang satu kilogram di Felda Jengka 17, Jengka, petang kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, isterinya, Norfarahana Baharuddin sedang mendukung Megat Muhammad Kays sambil bersiar-siar di halaman rumah selepas anak bongsu daripada dua beradik itu menangis.

“Masa dukung Megat Muhammad Kays, isteri terdengar buah terjatuh lalu melarikan diri. Biasanya durian kalau jatuh, buah ini menghempap dahan lain.

“Kebetulan dia terdengar, jadi dia segera lari takut terkena serpihan dahan atau buah.

“Tapi takdir Allah SWT dan buah itu terkena isteri dan anak. Bukan dia pergi mencari durian dan kebetulan pokok ini terletak bersebelahan rumah sahaja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, tiada sesiapa mahu perkara itu berlaku, tambahan pula durian ini jatuh ke arahnya selepas terkena dahan lain.

Megat Zarulfais berkata, disebabkan salah faham, ramai pihak mengecam seolah-olah isterinya membawa bayi ke kebun mencari durian.

“Bagi yang tidak tahu cerita sebenar, usah membuat andaian sendiri,” katanya.

Katanya, selepas dibawa ke Hospital Jengka, bayinya dibenarkan pulang berikutan kecederaannya tidak seteruk isteri.

“Rumah berkenaan hanya didiami isteri dan anak saya manakala saya bekerja di Kuala Lumpur.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai ujian buat kami sekeluarga,” katanya.

“Saya terima mana-mana pihak yang mengecam kerana mereka mungkin tidak tahu cerita sebenar. Saya ucap terima kasih kepada mereka mendoakan Megat Muhammad Kays cepat sembuh,” katanya.

Sumber : Harian Metro

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.