“Itu Wang Terakhir Pemberian Ayah Sebelum Meninggal Dunia”- Kisah Duit RM 10
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini viral di Facebook sebuah posting yang dimuatnaik Hyza Ezany mencari pemilik asal kepada sekeping wang kertas bernilai RM 10 yang mempunyai nota ringkas yang tertulis : ‘ Ini adalah wang terakhir pemberian ayah ‘ siap dengan tarikh dan juga waktu.
Posting Hyza Ezany itu bukan sahaja mendapat perhatian netizen, malah dengan kuasa viral, posting yang turut dikongsi oleh 25 ribu orang pengguna Facebook itu akhirnya berjaya menemui pemilik asal wang berkenaan; Anne Malar Yesudass
Anne Malar Yesudass yang terharu memberitahu melalui posting di Facebooknya bahawa wang RM10 itu adalah miliknya sebelum ia hilang selepas dompetnya dicuri pada 1 September tahun lalu.
“Saya sudah jumpa individu yang jumpa duit saya, terima kasih sangat-sangat kepada semua yang sudi kongsi penemuan duit ini.
“Duit itu adalah benda yang paling berharga dalam hidup saya. Diberikan oleh ayah kepada saya pada 21 Mei 2010, ketika itu saya berusia 17 tahun.
“Ayah berikan duit ketika menghantar saya kesekolah, namun sayangnya tarikh itu adalah kali terakhir saya bertemunya di dunia. Bapa terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Saya berasa sedih kerana itu satu-satu duit dan barang peninggalan dari bapa untuk saya. Tidak kisah jika dompet hilang tetapi jangan ambil duit itu.
“Saya sangat berterima kasih kepada Hyza Ezany di atas perkongsian itu. Terima kasih tidak cukup untuk balas jasanya tetapi apa-apa pun terima kasih banyak-banyak.
“Terima kasih kepada semua yang sudi membantu kongsi status Hyza Ezany. Terima kasih sekali lagi. Saya sayang ‘appa’, saya rindu dia sangat-sangat,” katanya.