Now Reading
Kerang-kerangan di Kuala Penyu Dicemari Toksin, Jangan Makan Buat Buat Sementara Waktu

Kerang-kerangan di Kuala Penyu Dicemari Toksin, Jangan Makan Buat Buat Sementara Waktu

Buat peminat makanan laut seperti kerang-kerangan, ini adalah berita penting untuk anda kerana ia melibatkan kesihatan anda.

Menurut Bernama, semua kerang-kerangan seperti tiram, dalus dan remis dari Kuala Penyu di Sabah dilaporkan tidak selamat dimakan buat sementara waktu.

Bacaan sel dinoflagellate Pyrodinium bahamense dan toksin paralitic shellfish poisoning (PSP) telah dikesan melebihi paras bahaya dalam kerang-kerangan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong dalam kenyataan semalam berkata, kejadian tersebut dikenal pasti melalui keputusan analisa kerang-kerangan dan air laut oleh pegawai Jabatan Perikanan Sabah di Kompleks Perikanan, Likas, di sini.

Katanya, sampel dalus (Meretrix sp) dari Purun Pasir, Kuala Penyu menunjukkan tahap toksin PSP mencapai 414 µg Poison/100g meat.

Sementara itu, keputusan sampel air laut dari kawasan Jeti Penguatkuasaan Perikanan, Muara Sungai Periuk dan Pancang Merah, Kuala Penyu pula masing-masing dikesan mengandungi 18,440 sel/liter, 15,560 sel/liter dan 10,500 sel/liter Pyrodinium bahamense.

Bacaan tahap kandungan toksin adalah melebihi paras bahaya iaitu 80 µg Poison/100g meat bagi toksin PSP dan 7,000 sel/liter bagi Pyrodinium bahamense dalam air laut.

“Sel Pyrodinium bahamense tidak membunuh kerang-kerangan atau ikan tetapi ia menghasilkan toksin PSP dalam kerang-kerangan. Toksin PSP tidak mempunyai warna, bau, rasa dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia tidak dapat dihilangkan dengan memasak atau menyimpan dalam peti sejuk beku,” katanya.

Semua jenis kerang-kerangan seperti tiram, dalus dan remis tidak selamat dimakan buat sementara waktu. Namun, semua jenis ikan, udang, ketam dan sotong adalah selamat untuk dimakan jika dicuci dengan bersih termasuk membuang insang serta organ dalaman sebelum dimasak.

Antara simptom keracunan PSP adalah pesakit akan merasa denyutan pada bibir dan lidah dalam 30 minit pertama, rasa seakan dicucuk pin dan jarum pada bahagian kulit serta rasa terapung dan mual.

“Bagi kes teruk, mangsa akan kehilangan kawalan tangan dan kaki serta mengalami kesukaran bernafas,” katanya.

Bahkan, pesakit berisiko maut dalam masa dua hingga 24 jam jika keracunan serius kerana sistem pernafasan menjadi lumpuh dan kegagalan jantung.

Lantaran itu, Junz mengingatkan semua penduduk agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami keracunan.

Sumber: BERNAMA

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.