fbpx

Peserta MasterChef Australia Terkedu Terima Belacan Sebagai Bahan Utama Masakan [Video]

Menurut Montana, bahan masakan belacan itu adalah luar daripada kemahirannya namun menghargai cabaran tersebut kerana ia luar daripada keselesaannya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

MasterChef merupakan salah satu pertandingan memasak yang terkenal. Malah Malaysia juga suatu ketika dahulu turut tidak terlepas menyiarkan program ini sebanyak dua siri bermula pada tahun 2011.

Selain Malaysia, pertanding memasak MasterChef ini juga turut terkenal di beberapa negara sehingga ke hari ini antaranya adalah Thailand, Australia serta banyak lagi.

Peserta MasterChef Australia masak guna belacan

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan salah seorang peserta MasterChef di Australia menggunakan belacan sebagai bahan masakan.

Menerusi video yang dikongsikan, setiap peserta perlu memilih kotak abjad yang mereka mahukan bagi mengetahui apakah bahan masakan yang perlu digunakan dalam cabaran memasak bagi episod ke 16 siaran terbabit.

Peserta dikenali sebagai Montana, 23, kemudian telah memilih kotak berlabel ‘B’ dan sebaik sahaja membuka kotak berkenaan kelihatan dia mendapat belacan sebagai bahan utama masakannya.

Menurut Montana, bahan masakan itu terkenal di Asia Selatan dan ia luar dari kemahirannya (forte) namun dia menghargai cabaran itu kerana ia luar dari keselesaannya.

Dia kemudian memilih untuk membuat hidang udang bakar yang dibalut dengan salad bersama sambal yang mengandungi belacan.

Juri buat permintaan, ingin rasa belacan yang ‘kuat’

Ketika juri datang untuk melihat proses dia memasak makanan tersebut, mereka menyatakan sambal tersebut perlu mempunyai rasa belacan ketika ia dimakan nanti.

Perkara itu secara tidak langsung membuatkan Montana keliru kerana bimbang jika sambal berkenaan tidak mempunyai rasa belacan yang cukup seperti diminta oleh juri.

“Saya rasa terkejut ketika mendapat belacan pada hari ini bagi kotak misteri berkenaan.

“Oleh itu, saya mahu memasak sesuatu yang simple supaya saya boleh fokus sepenuhnya untuk memberi rasa belacan dalam makanan.

“Saya mahukan sambal itu pedas, aroma sedikit masin agar ia mempunyai rasa yang seimbang agar rasa belacan itu tidak terlalu berlebihan.

“Jadi saya perlu berusaha agar ia menjadi sempurna,” ujar Montana yang juga merupakan seorang influencer di TikTok.

Hasil masakan dapat pujian juri

Masakannya itu secara tidak langsung telah mendapat tempat di hati juri apabila mereka memuji Montana kerana menyukai masakan tersebut. Malah sambal itu memilik rasa yang begitu seimbang.

Episod itu kemudian telah sohor di beberapa platform media sosial selepas dikongsikan netizen.

Melihat di ruangan balas, ramai yang tidak menyangka bahan masakan tersebut digunakan dalam program MasterChef berkenaan.

Tidak kurang juga ada yang memberi cadangan apakah menu lain boleh dibuat menggunakan belacan.

“Senang je, nasi putih sayur lemak, sambal ikan selar kuning goreng garing, sambal belacan, ulam. Kau tengok nanti juri tu tambah nasi ke tak”

“Weh macam-macam boleh buat guna belacan”


Apa itu belacan?

Belacan merupakan sejenis bahan makanan diperbuat daripada udang yang kemudian dilumatkan dan diproses sehingga ia boleh disimpan bagi satu tempoh yang lama.

Kebiasaannya ia digunakan di dalam bahan masakan atau dibuat sambal sebagai penambah perasa kerana mempunyai rasa umami yang tersendiri.

Selain itu, bahan masakan ini terkenal dalam masakan di Asia Selatan dan juga Cina Selatan termasuklah Malaysia.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.