fbpx
Now Reading
30% ‘Kaki’ Vape Di Malaysia Berumur 12 Hingga 15 Tahun

30% ‘Kaki’ Vape Di Malaysia Berumur 12 Hingga 15 Tahun

Susulan itu, SEATCA menyeru Malaysia untuk mengambil langkah melarang penggunaan alatan itu dalam usaha menghentikan trend tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada ketika ini, ramai perokok di Malaysia yang sudah mula beralih kepada rokok jenis elektronik seperti Vape dan Pod.

Namun, apa yang membimbangkan adalah rokok elektronik ini juga telah mempengaruhi segelintir golongan remaja dan kanak-kanak untuk mencubanya.

30% perokok elektronik di Malaysia berumur 12 hingga 15 tahun

Menurut Berita Harian yang memetik laporan Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA), kira-kira 30% perokok elektronik di negara ini berusia antara 12 hingga 15 tahun.

SEATCA menerusi satu kenyataan berkata, prevalen penggunaan rokok elektronik dalam kumpulan umur berkenaan tinggi di negara ini, berbanding prevalen perokok remaja iaitu 12.5% yang meliputi 10.8% lelaki dan 1.7% perempuan.

Secara perbandingan, pertubuhan itu berkata negara lain di ASEAN seperti Brunei, Kemboja, Laos, Singapura, dan Thailand melarang penggunaan alatan itu termasuk hampir 40 negara yang lain.

Gambar sekadar hiasan (Kredit: Pexels)

SEATCA seru Malaysia ambil langkah untuk hentikan trend tidak sihat ini

Susulan itu, pertubuhan antitembakau Asia Tenggara itu menyeru Malaysia untuk mengambil langkah sama dalam usaha menghentikan trend tersebut.

Jelasnya, rokok elektronik yang diambil bersama nikotin memberi rasa ketagihan yang tinggi selain kesan buruknya terhadap kesihatan.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata e-rokok secara agresif dipromosi kepada orang muda melalui media sosial dan influencer.

“Kanak-kanak terutamanya disasarkan menerusi karakter kartun, ketersediaan sekurang-kurangnya 16,000 perasa dan e-rokok menyerupai mainan, gula-gula serta peralatan persekolahan,” katanya dipetik FMT.

Prevalen e-rokok dalam kalangan remaja, Filipina catat 14.1% dan Indonesia 11.8%

Berkongsi lanjut, kenyataan itu berkata di rantau ASEAN, prevalen rokok elektronik dalam kalangan remaja di Filipina adalah 14.1%, manakala di Indonesia 11.8% pelajarnya menggunakan e-rokok.

“Walaupun kesan kesihatan jangka panjang belum dapat dikenal pasti sepenuhnya, telah terbukti ia menghasilkan bahan toksik yang mana berupa karsinogenik, selain meningkatkan risiko gangguan jantung dan paru-paru.

“Penggunaan e-rokok juga menjejaskan perkembangan otak dan menjurus gangguan pembelajaran golongan muda,” katanya lagi.

Rokok elektronik tidak cekap digunakan untuk berhenti merokok

SEATCA juga menjelaskan bahawa produk berkenaan berbahaya dan tidak berkesan digunakan untuk berhenti merokok seperti yang sering didakwa segelintir individu.

“Dakwaan kurang bahaya belum dapat dibuktikan dan mengelirukan. Lebih tepat mengatakan ia adalah permulaan bahaya bagi orang muda yang tidak pernah merokok dan pengganti bahaya kepada perokok yang cuba berhenti merokok,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan (Kredit: Pexels)
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.