fbpx
Now Reading
Anggota Polis Di Perlis Tembak Mati Isteri, Lebih 5 Das Tembakan Dilepaskan

Anggota Polis Di Perlis Tembak Mati Isteri, Lebih 5 Das Tembakan Dilepaskan

Anggota polis itu sudah direman selama 7 hari sehingga 12 Mac bagi membantu siasatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang anggota polis berpangkat lans koperal menembak maut isterinya yang juga seorang suri rumah di Perlis semalam (5 Mac).

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, insiden berlaku di kediaman pasangan itu di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Jalan Kangar-Alor Setar, Perlis.

Menurutnya, isteri anggota polis itu maut di dalam sebuah bilik rumah berkenaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.00 pagi semalam.

Suspek tiba-tiba keluarkan pistol dan tembak isteri

Kata Yusharifuddin, kejadian berlaku selepas suspek baharu sahaja tamat syif tugasan dan berdasarkan saksi kejadian iaitu bapa mentuanya, lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan pistol jenis Walther P99 dan menembak isterinya, Safsufarnisya Salleh yang berusia 26 tahun.

“Suspek melepaskan lebih daripada lima das tembakan pada jarak dekat mengenai bahagian muka, terutama di bahagian mata sebelah kiri menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, semalam.

Menurutnya lagi, tembakan itu menyebabkan ibu bapa mentua dan anak saudara suspek yang turut mendiami rumah berkenaan lari meninggalkan kediaman itu.

“Bapa mentua suspek kemudian menelefon anak lelakinya untuk memaklumkan kejadian, sebelum menghubungi polis.

“Polis yang dimaklumkan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 pagi, pergi ke rumah mangsa dan didapati suspek masih berada dalam rumah.

“Cubaan untuk meminta suspek menyerah diri gagal apabila suspek mendiamkan diri dalam rumah. Polis berjaya memasuki rumah berkenaan dan didapati suspek hanya duduk mendiamkan diri, di samping pistol masih lagi berada dalam tangannya,” katanya.

Jelasnya lagi, mayat wanita itu ditemui dalam keadaan mengiring di atas katil di bilik berkenaan manakala suspek pula ditahan polis.

“Beberapa kelongsong peluru turut ditemui di lantai. Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat.”

Motif kejadian masih disiasat, suspek dan mangsa tidak bergaduh

Kata beliau, motif pembunuhan masih disiasat pihak polis kerana didapati tidak berlaku sebarang  pergaduhan atau pertikaian di antara mangsa dan suspek yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga bersama.

“Siasatan juga akan menjurus sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebagainya. Pasangan berkenaan tidak mempunyai anak dan suspek sudah empat tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.”

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

Pada masa sama, Yusharifuddin berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek kemudiannya direman selama 7 hari sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan punca sebenar kejadian.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh, Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor.

Suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Kangar hari ini (6 Mac) untuk perintah reman.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.