fbpx
Now Reading
AIA Malaysia Lancar AIA Healthiest Schools, Mahu Galak Tabiat Sihat Dalam Kalangan Generasi Muda

AIA Malaysia Lancar AIA Healthiest Schools, Mahu Galak Tabiat Sihat Dalam Kalangan Generasi Muda

Disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, program AIA Healthiest Schools menggunakan pendidikan sebagai alat untuk memperkasa pelajar sekolah memupuk tabiat sihat

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

AIA Malaysia pada 12 Oktober lalu telah melancarkan program AIA Healthiest Schools (Sekolah Tersihat AIA) yang bertujuan menggalakkan tabiat hidup sihat dalam kalangan pelajar berumur lima hingga 16 tahun melalui pemakanan yang sihat, gaya hidup aktif, kesejahteraan mental serta kesihatan dan kelestarian di sekolah.

AIA dalam satu kenyataan berkata, program ini yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan sumber dan bahan percuma yang boleh digunakan serta diintegrasikan dengan mudah oleh para guru dalam rancangan pengajaran sedia ada mereka.

“Bahan dan sumber ini berupaya untuk memberi nilai tambahan dalam usaha memperkenalkan konsep kesihatan dan kesejahteraan yang lebih berkesan di dalam bilik darjah.”

Menurut AIA, program ini terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari sektor kerajaan, swasta dan antarabangsa.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2022 menunjukkan bahawa satu pertiga daripada remaja Malaysia yang berumur 13-17 tahun mempunyai berat badan berlebihan atau obes, yang boleh membawa kepada pelbagai penyakit kronik yang secara lazimnya hanya dikaitkan dengan orang dewasa yang lebih berusia.

Selain itu, turut diperakui bahawa kanak-kanak kecil mengalami masalah kesihatan mental, dengan anggaran 1 daripada 20 kanak-kanak Malaysia yang berumur lima hingga sembilan tahun didapati mengalami gangguan mental, termasuk gangguan perkembangan, seperti kebimbangan dan kemurungan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia Ben Ng, salah satu isu yang paling membimbangkan di negara kita ialah keadaan kesihatan kanak-kanak.

Justeru pihaknya yakin nilai yang akan dibawa oleh program AIA Healthiest Schools kepada negara kerana ia merupakan satu pendekatan yang proaktif untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia kerana sumber dan bahan pendidikan yang boleh dipercayai dan mudah diakses.

“Sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna, ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menangani peningkatan kadar isu kesihatan kanak-kanak. Sebagai individu, ibu bapa, sekolah, syarikat korporat dan negara, kita bertanggungjawab untuk menyokong keupayaan anak-anak kita dalam menerapkan gaya hidup yang lebih sihat.

“Kesihatan adalah aset terpenting kita dan disebabkan itu, amat penting untuk kita memastikan bahawa generasi akan datang berpeluang menjalani kehidupan yang lebih sihat, ceria dan bermakna. Program AIA Healthiest Schools akan memperluaskan usaha advokasi dan tanggungjawab sosial kami dalam membantu kanak-kanak menjadi versi terbaik diri mereka. Kami berharap para guru dan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam program ini,” tambahnya.

AIA Malaysia bekerjasama dengan LeapEd, sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada transformasi sekolah dan pembelajaran berpusatkan pelajar, untuk melaksanakan program AIA Healthiest Schools di Malaysia.

Program ini menyediakan bahan dan sumber yang boleh dimuat turun secara percuma dan tersedia dalam pelbagai bahasa (Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin), termasuk filem pengenalan, aktiviti yang fleksibel, rancangan pengajaran dan permainan yang menyeronokkan. Bengkel interaktif untuk para guru juga akan diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Ipoh bagi membantu mereka mengintegrasikan program tersebut ke dalam bahan pengajaran sedia ada mereka.

Program AIA Healthiest Schools turut merangkumi pertandingan bagi menggalakkan sekolah-sekolah yang mengambil bahagian untuk berkongsi pencapaian dan kejayaan mereka dalam meningkatkan tahap kesihatan dalam kalangan pelajar.

Pertandingan ini juga berperanan sebagai sebuah platform bagi sekolah-sekolah untuk membina komuniti yang berkongsi amalan terbaik (best practices) dan mencetuskan idea inovatif dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan.

Hadiah berjumlah USD 100,000 (RM478,000) akan dianugerahkan kepada sekolah yang menunjukkan usaha kesihatan dan kesejahteraan terbaik.

Sebagai info Program AIA Healthiest Schools telah dilancarkan oleh AIA Group pada tahun 2022 sebagai sebahagian daripada strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan tujuan untuk membawa impak positif kepada peningkatan kesihatan kanak-kanak di seluruh rantau Asia.

Edisi pertama program tersebut telah diadakan di empat daripada 18 pasaran AIA iaitu:

  • Australia
  • Hong Kong
  • Thailand
  • Vietnam

Untuk maklumat lanjut mengenai program AIA Healthiest Schools dan bagaimana untuk mengakses sumber pengajaran yang boleh dimuat turun secara percuma, sila layari https://ahs.aia.com/my/ms/

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.