Boleh Ke Wanita Haid Ke Masjid Ketika Solat Sunat Hari Raya?
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kita kini telah hampir tiba di penghujung Ramadan dan bakal memasuki bulan Syawal dalam masa lebih kurang seminggu sahaja lagi.
Dalam keterujaan mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri, pasti semua sudah bersiap dengan pakaian baharu yang akan digayakan pada hari pertama raya.
Namun dalam keseronokan itu, jangan lupa pula untuk menunaikan solat sunat raya. Kita berpeluang untuk menunaikan solat raya dua kali sahaja dalam setahun Hijrah!
Solat Raya Merupakan Sunat Muakkad
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa solat raya merupakan sunat muakkad, iaitu ibadah sunat yang amat digalakkan.
Rasulullah SAW dan para sahabat turut melakukan solat sunat hari raya dalam satu perhimpunan yang besar, berdasarkan hadis:
“Rasulullah SAW keluar pada hari raya puasa dan hari raya korban menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang dilakukan adalah solat. Kemudian Baginda berpaling menghadap orang ramai yang berada dalam saf-saf mereka. Lalu Baginda memberi nasihat dan mengeluarkan perintah kepada mereka.
“Sekiranya Baginda ingin memilih satu kumpulan daripada mereka untuk dicetuskan bagi tujuan berjihad, maka Baginda akan lakukannya. Dan jika Baginda ingin memerintah bagi melakukan sesuatu, maka Baginda akan perintah. Kemudian Baginda akan beredar.”
Sebagai maklumat tambahan, solat raya juga disunatkan untuk dijalankan secara bersendirian, tetapi lebih afdhal jika ditunaikan secara berjemaah.
Wanita Haid Dituntut Ke Masjid Semasa Solat Raya?
Sudah tentu semua tahu bahawa wanita yang didatangi haid diharamkan daripada menunaikan ibadah solat. Tetapi sayang betul jika datang haid sehingga terlepas suasana 1 Syawal di surau atau masjid kan?
Baru-baru ini tular di TikTok rakaman suara Ustaz Azhar Idrus yang menerangkan bahawa wanita sedang haid juga dituntut ke masjid sewaktu solat raya.
Katanya, ia adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW agar wanita, walaupun yang tidak bertudung (diberikan tudung) dan sedang datang haid, tetap hadir ke masjid ketika solat raya.
Ini tidaklah bermaksud agar wanita haid sama-sama menunaikan solat, tetapi berhimpun dengan jemaah di masjid untuk mengambil keberkatan.
Menerusi penjelasan lanjut oleh Ustaz Azhar, dia berkata perkara ini adalah menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Atiyyah RA, berkata:
أَمَرَنَا – تَعْنِي النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم – أَنْ نُخْرِجَ فِي الْعِيدَيْنِ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ وَأَمَرَ الْحُيَّضَ أَنْ يَعْتَزِلْنَ مُصَلَّى الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kepada kami (orang perempuan) untuk mengeluarkan anak-anak gadis dan wanita-wanita berpurdah pada dua hari raya serta baginda arahkan wanita haid agar menjauhi tempat solat umat Islam.”
Riwayat Muslim (890)
Jelasnya lagi, wanita haid dianjurkan supaya hadir ke masjid pada hari raya untuk mendapat tiga keberkatan, yakni dari takbir raya, solat dan kutbah.
Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ
Maksudnya: “Kami diperintahkan untuk keluar pada hari raya serta membawa bersama anak dara dari biliknya dan wanita haid lalu mereka akan berada di belakang orang ramai bertakbir dan berdoa mengharapkan keberkatan pada hari tersebut bersama-sama dengan orang ramai.”
Riwayat al-Bukhari
Wanita Haid Dilarang Duduk Di Dalam Masjid
Namun begitu, jangan lupa pula bahawa wanita haram untuk duduk di dalam masjid ketika sedang haid.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, antara dalil yang menjadi sandaran hukum ini adalah ayat 43 Surah al-Nisaa’:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”
Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa wanita haid boleh duduk di ruangan masjid yang tidak menjadi tempat solat seperti di tangga dan kawasan pejabat.
Dalam masa sama, wanita yang sedang haid masih boleh melintasi di dalam masjid tanpa berulang-alik.