fbpx
Now Reading
Penyamun Dalam Lif MRT Didakwa

Penyamun Dalam Lif MRT Didakwa

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

LELAKI yang merompak dan mencederakan wanita di dalam lif dekat Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras pada 14 Februari lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Tertuduh, G Thinathayaalan, 26, yang juga pekerja pembaikan pendingin hawa bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahyun Talib.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan rompak sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang juga pengurus bank, Lee Meei Shan, 48, di dalam lif Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara pada 6.45 pagi.

Tertuduh didakwa dengan sengaja melarikan kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM Maybank dan Hong Leong, kad kredit Maybank dan CIMB dan wang tunai RM400.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi tidak menawarkan jaminan kerana ia adalah satu kejadian yang kejam terhadap mangsa.

“Kes ini juga sudah menjadi tular memandangkan ia dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV).

“Mohon jaminan tidak dibenarkan berikutan kejadian ini adalah sangat kejam,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan untuk dijamin.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 15 Mac bagi tarikh sebutan dan serahan dokumen.

Pada 14 Februari lalu, mangsa dikatakan berada dalam lif berkenaan bersama tertuduh sebelum dibelasah dan disamun lelaki itu.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di dahi dan badan serta dirawat di hospital.

Sumber : Harian Metro

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.