Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menzahirkan kesediaan beliau untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah berikutan kes saman terhadapnya.
Sanusi menerusi satu hantaran di Facebook berkata, beliau hanya bercakap mengenai ‘sejarah’ ekoran dari dakwaannya terhadap Anwar berhubung kenyataan “berperwatakan tidak bermoral”.
“Jumpa di mahkamah lah.. kita kisahkan tentang sejarah,” tulisnya ringkas di Facebook.
Menerusi hantaran sama, Sanusi turut memuat naik beberapa gambar dokumen peguamnya.
Terdahulu Anwar telah memfailkan saman fitnah dan menuntut ganti rugi terhadap Sanusi kerana memfitnahnya dalam satu ceramah kempen pilihan raya di Tambun, Perak pada 13 November lalu.
Menurut Anwar, dakwaan yang dilemparkan Pengerusi Perikatan Nasional Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu telah merosakkan reputasinya.
Dakwanya lagi, ceramah itu antaranya membawa maksud beliau telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya, selain mengecop Ahli Parlimen Tambun itu sebagai seorang pembohong.
Anwar memfailkan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan menamakan Sanusi sebagai defendan tunggal.