Semalam (17 Januari), kami ada melaporkan berita tentang kehilangan wang bantuan awal persekolahan (BAP) bernilai RM109,000 untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor, yang lesap disamun oleh penjenayah.
Semasa insiden itu berlaku, mangsa yang juga seorang guru besar sekolah berkenaan telah meninggalkan wang berkenaan dalam kenderaan sebelum keluar membeli air minuman di sebuah restoran.
Menurut laporan polis, guru itu sebelum ini sudah biasa mengeluarkan wang bantuan awal persekolahan tanpa diiringi oleh polis pengering.
Baca artikel berkaitan: Kes Wang Bantuan Awal Sekolah ‘Lesap’, Guru Besar Dakwa Sudah 10 Tahun Ambil Duit Tanpa Polis Pengiring
Terbaharu Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pengambilan wang tunai dari bank yang dibuat oleh guru besar berkenaan.
Memetik laporan Harian Metro, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan pelanggaran SOP itu adalah tiada pengiring yang bersama guru besar tersebut seperti guru lain atau pihak polis ketika wang BAP itu dikeluarkan.
“SOP kewangan telah dilanggar sedangkan kita ada SOP yang cukup ketat iaitu jika membawa wang lebih dari RM10,000 mestilah ada pengiring, inikan pula satu jumlah yang cukup besar (RM109,000 yang hilang),” ujarnya.
Jelas Fadhlina, kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap isu serius itu selain turut memaklumkan beliau sedang menanti laporan penuh siasatan kes tersebut dari pihak polis dan Jabatan Pendidikan Negara (JPN) Selangor untuk melihat tindakan susulan yang bersesuaian.
Menurut Fadhlina setakat ini adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada ia dianggap kelalaian atau sebaliknya memandangkan laporan penuh bagi kes itu belum lagi diterima pihaknya.
“Kita kena tunggu laporan daripada JPN Selangor secara keseluruhannya, saya tak boleh nak simpulkan selagi tak dapat laporan penuh JPN serta polis,” jelasnya.
Menurut SOP tatacara pengeluaran wang tunai KPM, wang tunai yang dibawa keluar sama ada guru besar mahupun pengetua di bawah jumlah RM10,000 hendaklah diiring oleh dua orang guru lain.
Manakala bagi jumlah melebihi nilai berkenaan disarankan untuk ambil langkah keselamatan tambahan seperti perkhidmatan pengiring dari pihak polis sekiranya perlu.
Ketika ditanya adakah pelajar yang sepatutnya mendapat wang BAP itu akan masih boleh menerimanya jika wang itu diganti semula oleh pihak kementerian, Fadhlina hanya memberi jaminan penerima akan mendapatkan hak mereka.
“Kita jamin akan pastikan mereka (penerima bantuan) dapat hak mereka. Kita akan lihat apa prosesnya sebab untuk SOP kewangan ini kalau hilang sebab cuai dan sebagainya akan ada proses dia (yang tertentu).
“Untuk tindakan terhadap guru besar itu, kita serah kepada JPN dan polis sebagai jaminan bahawa kes ini sedang disiasat dengan teliti,” kata Fadhlina lagi.
Sementara itu, Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berpendapat agar wang BAP itu dimasukkan secara terus ke akaun bank pelajar malah ia dapat meningkatkan produktiviti selain turut menjimatkan masa.
Menerusi hantarannya di Facebook beliau jika cara itu digunakan guru juga tidak perlu menguruskan pemberian bantuan di sekolah.
“Apabila dibuat secara manual di sekolah, ibu bapa juga perlu menandatangani beberapa helaian kertas dan guru perlu memastikan proses dilaksanakan satu persatu.
“Selain daripada itu, pembayaran ke akaun murid juga memastikan tata pengurusan kewangan yang teratur dan selamat.”
Katanya lagi, perkara itu turut dapat mengelakkan dari berlakunya kes kehilangan wang tunai seperti sebelum ini berulang lagi.
Menerusi video yang tular, seorang guru dilihat memotong rambut panjang milik seorang murid lelaki di…
Menurut Dr Alpha Zaki individu yang mengalami melecur tahap empat akan terkena pada otot, tulang…
Bagi Aeril, isterinya itu sudah cukup cantik dan sempurna di matanya hingga tiada sebab untuk…
Pihak DarSA Fried Chicken mendakwa kesilapan yang dilakukan adalah tidak disengajakan.
Menurut wanita itu, dia bagaimanapun tidak sampai hati membiarkan pembantu rumahnya itu menghabiskan wang membelanja…
Pihak Rapid yang mengesahkan insiden turut memaklumkan perhidmanan monorel mengalami kelewatan dan laluan di antara…