fbpx
Now Reading
Kes Guru Besar Disamun, KPM Sahkan Terdapat Perlanggaran SOP Semasa Pengeluaran Wang BAP Bernilai RM109K
Fadhilah Sidek menteri pendidikan

Kes Guru Besar Disamun, KPM Sahkan Terdapat Perlanggaran SOP Semasa Pengeluaran Wang BAP Bernilai RM109K

Menurut Menteri Pendidikan itu SOP bagi proses pengeluaran wang melebihi RM10,000 mestilah mempunyai pengiring.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (17 Januari), kami ada melaporkan berita tentang kehilangan wang bantuan awal persekolahan (BAP) bernilai RM109,000 untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor, yang lesap disamun oleh penjenayah.

Semasa insiden itu berlaku, mangsa yang juga seorang guru besar sekolah berkenaan telah meninggalkan wang berkenaan dalam kenderaan sebelum keluar membeli air minuman di sebuah restoran.

Menurut laporan polis, guru itu sebelum ini sudah biasa mengeluarkan wang bantuan awal persekolahan tanpa diiringi oleh polis pengering.

Baca artikel berkaitan: Kes Wang Bantuan Awal Sekolah ‘Lesap’, Guru Besar Dakwa Sudah 10 Tahun Ambil Duit Tanpa Polis Pengiring

Terdapat pelanggaran SOP ketika wang dikeluarkan

Terbaharu Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pengambilan wang tunai dari bank yang dibuat oleh guru besar berkenaan.

Memetik laporan Harian Metro, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan pelanggaran SOP itu adalah tiada pengiring yang bersama guru besar tersebut seperti guru lain atau pihak polis ketika wang BAP itu dikeluarkan.

“SOP kewangan telah dilanggar sedangkan kita ada SOP yang cukup ketat iaitu jika membawa wang lebih dari RM10,000 mestilah ada pengiring, inikan pula satu jumlah yang cukup besar (RM109,000 yang hilang),” ujarnya.

Tidak akan kompromi, masih tunggu laporan penuh dari polis & JPN

Jelas Fadhlina, kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap isu serius itu selain turut memaklumkan beliau sedang menanti laporan penuh siasatan kes tersebut dari pihak polis dan Jabatan Pendidikan Negara (JPN) Selangor untuk melihat tindakan susulan yang bersesuaian.

Menurut Fadhlina setakat ini adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada ia dianggap kelalaian atau sebaliknya memandangkan laporan penuh bagi kes itu belum lagi diterima pihaknya.

“Kita kena tunggu laporan daripada JPN Selangor secara keseluruhannya, saya tak boleh nak simpulkan selagi tak dapat laporan penuh JPN serta polis,” jelasnya.

Mesti kena ada dua guru pengiring untuk pengeluaran bernilai RM10,000

Menurut SOP tatacara pengeluaran wang tunai KPM, wang tunai yang dibawa keluar sama ada guru besar mahupun pengetua di bawah jumlah RM10,000 hendaklah diiring oleh dua orang guru lain.

Manakala bagi jumlah melebihi nilai berkenaan disarankan untuk ambil langkah keselamatan tambahan seperti perkhidmatan pengiring dari pihak polis sekiranya perlu.

Beri jaminan pelajar penerima bantuan akan menerima hak mereka

Ketika ditanya adakah pelajar yang sepatutnya mendapat wang BAP itu akan masih boleh menerimanya jika wang itu diganti semula oleh pihak kementerian, Fadhlina hanya memberi jaminan penerima akan mendapatkan hak mereka.

“Kita jamin akan pastikan mereka (penerima bantuan) dapat hak mereka. Kita akan lihat apa prosesnya sebab untuk SOP kewangan ini kalau hilang sebab cuai dan sebagainya akan ada proses dia (yang tertentu).

“Untuk tindakan terhadap guru besar itu, kita serah kepada JPN dan polis sebagai jaminan bahawa kes ini sedang disiasat dengan teliti,” kata Fadhlina lagi.

Radzi Jidin cadang wang BAP masuk ke akaun bank pelajar terus

Sementara itu, Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berpendapat agar wang BAP itu dimasukkan secara terus ke akaun bank pelajar malah ia dapat meningkatkan produktiviti selain turut menjimatkan masa.

Menerusi hantarannya di Facebook beliau jika cara itu digunakan guru juga tidak perlu menguruskan pemberian bantuan di sekolah.

“Apabila dibuat secara manual di sekolah, ibu bapa juga perlu menandatangani beberapa helaian kertas dan guru perlu memastikan proses dilaksanakan satu persatu.

“Selain daripada itu, pembayaran ke akaun murid juga memastikan tata pengurusan kewangan yang teratur dan selamat.”

Katanya lagi, perkara itu turut dapat mengelakkan dari berlakunya kes kehilangan wang tunai seperti sebelum ini berulang lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.