fbpx
Now Reading
Isu ‘Dihalau’ Dari Ceramah, Dominic Terima Dengan Hati Terbuka Selepas PAS Mohon Maaf

Isu ‘Dihalau’ Dari Ceramah, Dominic Terima Dengan Hati Terbuka Selepas PAS Mohon Maaf

Permohonan maaf itu dimuat naik dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin menerusi Facebook.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, kami ada melaporkan insiden di mana Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang ‘dihalau’ dan dihalang masuk ke sebuah ceramah yang berlangsung di Sungai Dua, Pulau Pinang.

Dominic bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau tidak kisah apabila tidak diundang ke ceramah berkenaan kerana ia adalah anjuran PAS dan bukan ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang.

Malah beliau yang juga calon PN turut tidak terkilan walaupun ada jentera dari parti berkenaan yang tidak membantu dalam kempennya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

Baca artikel berkaitan: ‘Dihalau’ Dari Ceramah Anjuran PAS, Presiden GERAKAN Tak Kecil Hati [Video]

PAS mohon maaf insiden di Pulau Pinang

Ekoran daripada insiden tersebut, PAS kemudian tampil memohon maaf dan menyuarakan rasa ‘tidak selesa’ dengan apa yang berlaku di majlis CERAMAH MEGA PN BEST di Tasek Gelugor itu.

“Walaupun Dr Dominic kemudiannya dilaporkan menolak dakwaan bahawa beliau ‘diminta keluar’ dari situ oleh seorang pemimpin PAS tempatan, namun bagi pihak kepimpinan PAS Pusat, saya percaya kehadiran beliau perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

“Selain itu, parti pimpinan GERAKAN juga merupakan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan beliau sendiri merupakan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung sewajarnya diberikan penghormatan yang layak dan munasabah,” jelas Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin menerusi satu kenyataan di Facebook.

Jelasnya, parti itu bagaimanapun sedar bahawa politik gabungan boleh mengundang kepada perasaan ketidakpuasan hati, kecewa dan lain-lain khususnya dalam pembahagian kerusi atau pemilihan calon yang ingin diletakkan di satu DUN atau Parlimen.

“Dalam konteks pemilihan Dr. Dominic sebagai calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan sebuah kerusi majoriti Melayu, PAS amat sedar berhubung sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan beliau.

Pemilihan Dominic adalah persetujuan kepimpinan tertinggi PN

Dalam masa sama, Takiyuddin turut menjelaskan pemilihan Dominic sebagai calon yang mewakili PN di Bayan Lepas adalah dengan persetujuan kepimpinan tertinggi parti gabungan terbabit.

Ia dilakukan selepas melalui pelbagai proses serta melepasi syarat yang ditentukan.

“Maka ahli dan penyokong perlu menerimanya dengan hati terbuka selain meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri.”

Dominic terima dengan hati terbuka

Terbaharu, Dominic tampil menjelaskan beliau menerima permohonan maaf tersebut dengan hati yang terbuka.

“Saya ‘reda’ dengan apa yang berlaku dan saya terima dengan hati terbuka permohonan maaf PAS.

“Tetapi apa yang ingin saya katakan ini adalah kesilapan kecil dan sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Saya sudah terima permohonan maaf, tetapi apa yang saya ingin katakan adalah mari kita terus bekerja keras untuk mendapatkan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini,” ujarnya dipetik Harian Metro.

Semua isu telah diselesaikan, Dominic enggan toleh ke belakang lagi

Ucapnya lagi, beliau percaya semua isu yang timbul telah diselesaikan tanpa sebarang persoalan.

“Janganlah kita menoleh ke belakang. Apa yang betul, apa yang salah, apa yang salah faham… semuanya sudah diketepikan.

“Seperti yang saya katakan, ini hanya kesilapan yang sangat kecil. Ini tidak menggambarkan hubungan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN). Semua parti komponen harmoni.”

Zahirkan ucapan terima kasih kepada Chow Kon Yeow kerana cabar parti Gerakan untuk tarik diri

Dominic juga turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Ketua Menteri Sementara Chow Kon Yeow atas keprihatinnya apabila mencabar Gerakan untuk menarik diri dari PRN sebagai tindakan protes.

“Saya ingin berterima kasih kepada ketua menteri sementara atas keprihatinannya. Saya tidak tahu kenapa tiba-tiba dia begitu mengambil berat mengenai saya.

“Tetapi apa yang dia perlu risaukan adalah mengenai apa yang berlaku dalam partinya sendiri.

“Beliau mesti mendedahkan siapa ‘maharaja’ dalam parti, yang pernah disebut oleh bekas timbalannya Dr P. Ramasamy. Sila jawab kerana kami, sebagai rakyat Pulau Pinang, berhak untuk mengetahuinya.

“Kedua, seperti yang dinyatakan kerana saya tidak pasti dengan politik DAP, adakah benar ahli Exco kerajaan negeri (exco) yang sealiran dengannya tidak diletakkan sebagai calon pada PRN ini? Saya harap beliau dapat menjawab soalan-soalan ini.

“Apa yang Chow perlu jaga ialah politiknya sendiri. Saya rasa PN okey. Tiada apa-apa yang akan berlaku. Kami akan keluar habis-habisan dalam baki hari berkempen,” jelas Dominic.

Ramai yang bantu kempen termasuk MCA

Sewaktu ditanya adakah penyokong PAS yang sebelum ini tidak membantunya semasa berkempen akan tampil melakukan hal tersebut selepas permohonan maaf itu dilakukan? Dominic menjelaskan kempennya mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan dibantu orang ramai serta Malaysian Chinese Association (MCA).

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka. Apa yang penting ialah bagaimana kita meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kita sehingga mereka memberi mandat kepada kita,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.