fbpx
Now Reading
Wanita Simbah OKU Dengan Air Panas Dalam Lif Dipenjara 10 Tahun & Denda RM6,000

Wanita Simbah OKU Dengan Air Panas Dalam Lif Dipenjara 10 Tahun & Denda RM6,000

Menurut Hakim Ahzal Fariz, tertuduh Oo Saw Kee juga boleh dipenjara tambahan 12 bulan jika gagal membayar denda.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Wanita yang sebelum ini tular menyimbah air panas ke arah seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Balik Pulau pada hari ini (23 April).

Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman terbabit selepas Oo Saw Kee, 39, yang juga seorang promoter mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tindakan tertuduh adalah perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan

Ahzal Fariz semasa prosiding berkata, setelah meneliti fakta kes, mahkamah mendapati tindakan tertuduh merupakan perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat, tambah-tambah lagi tiada provokasi langsung daripada mangsa.

“Mahkamah sudah tentu perlu mengambil kira kepentingan awam dan hukuman ini bertujuan memberi peringatan agar perbuatan ini tidak diulangi terutama kepada golongan istimewa.

“Masyarakat majmuk di Malaysia tidak membenarkan perbuatan seperti ini berlaku, oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000, dan penjara 12 bulan jika denda tersebut tidak dibayar,” katanya dipetik Berita Harian.

Tertuduh dengan sengaja sebabkan kecederaan parah terhadap mangsa

Mengikut pertuduhan, Oo didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Solairaj Archudan, 33, menggunakan alat panas yang boleh menyebabkan kelecuran iaitu sebuah botol air yang mengandungi air panas.

Kesalahan itu dilakukan di dalam lif di Pangsapuri I-Park, Jalan Rajawali, Bayan Lepas pada jam 9.24 pagi, 19 April lalu.

Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Mohd Nordin Ismail manakala peguam pro bono Edric Loo pula mewakili tertuduh.

Peguam tertuduh mohon mahkamah pertimbang hukuman penjara ringan

Sebelum ini, Edric memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara ringan kerana ini merupakan kesalahan pertama yang dilakukan anak guamnya selain tertuduh juga telah menjimatkan masa mahkamah dengan mengaku salah.

Menurutnya, tertuduh yang masih bujang bekerja sebagai pembantu jualan dengan pendapatan RM1,500 sebulan itu sudah insaf dengan perbuatan yang dilakukannya.

Bagaimanapun Mohd Nordin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan tindakannya menyimbah air panas adalah perbuatan serius.

“Mangsa masih dirawat di hospital dengan kesan melecur di bahagian belakang badan, bahu serta leher dengan luka melecur enam peratus dan doktor perlu mencuci dan membalut luka kecederaan ini untuk mengelak jangkitan kuman.

“Saya percaya rata-rata masyarakat mengutuk perbuatan ini. Amat jelas air (panas) disiram dengan begitu tidak berperikemanusiaan kepada mangsa yang masuk ke dalam lif dengan tertuduh adalah jiran yang hanya berbeza satu tingkat dan sudah menetap di pangsapuri sama sejak 2014.

“Saya telah menyemak tiada laporan yang dibuat tertuduh, cuma mungkin dia (mangsa) seorang lemah sikit belajar.

“Kita tidak boleh sisih dan masyarakat sepatutnya membantu golongan OKU dan bukan menzaliminya seperti binatang,” kata Mohd Nordin.

Perselisihan faham lama jadi punca kejadian

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal memaklumkan perselisihan faham lama antara wanita dan lelaki berkenaan dipercayai punca suspek melakukan tindakan menyimbah air panas itu.

Ujar Kamarul, siasatan awal yang dilakukan mendapati perselisihan faham lama itu disifatkan sensitif dan ia sudah berlaku sejak tiga atau empat tahun lepas.

Jelasnya lagi, siasatan turut mendapati wanita berkenaan bukanlah pesakit mental.

Baca Artikel Berkaitan: Dendam Lama Punca Wanita Di Pulau Pinang Simbah OKU Dengan Air Panas

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.