Seorang pekerja restoran yang juga merupakan warga asing cedera dipukul lelaki bersenjata selepas bertanya kepada individu berkenaan untuk membayar hutang makanan di sebuah restoran di Lorong Pandan Pertama 5, Pandan Utama, semalam (12 September).
Jelas Ketua Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail warga asing terbabit telah dipanggil oleh lelaki berkenaan semasa dia sedang melepak di bengkel motosikal di sebelah restoran tersebut pada jam 6 petang.
Jumpa suspek di bengkel sebelah restoran sebelum dibaling dengan rantai besi dan padlock
Mangsa kemudian bertindak berjumpa dengan lelaki itu sebelum dia dibaling dengan rantai besi berserta mangga (padlock).
Malah kepala pekerja restoran berusia 34 tahun itu turut hampir dipukul dengan menggunakan rantai besi tersebut.
“Suspek juga menarik mangsa dan mengacu pisau namun telah ditahan oleh pekerja restoran.
“Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan sakit, bengkak di jari telunjuk sebelah kiri dan jari kelingking kanan dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” jelas Mohd Azam, lapor Kosmo.
Punca kejadian kerana pekerja restoran tanya mengenai hutang yang belum langsai
Kata beliau, punca insiden itu berlaku selepas pekerja tersebut bertanya mengenai bayaran hutang yang belum dijelaskan oleh suspek beberapa kali sebelum ini.
“Kita telah menangkap lelaki tempatan berusia 41 tahun berhampiran tempat kejadian pada pukul 6.01 petang.
“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah tidak dikehendaki dan ujian awal saringan air kencing adalah positif dadah jenis Benzo.”
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan senjata dan suspek direman selama empat hari sehingga 16 September (Sabtu).