fbpx
Now Reading
Polis Tahan 2 Warga Asing Cuba Larikan Kanak-kanak 19 Bulan Di Sebuah Pasar Raya Di Klang [Video]

Polis Tahan 2 Warga Asing Cuba Larikan Kanak-kanak 19 Bulan Di Sebuah Pasar Raya Di Klang [Video]

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, kedua-dua suspek telah mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari dari Mahkamah Klang bagi membantu siasatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan dua lelaki dipercayai warga asing ditahan pihak polis di salah sebuah pasar raya di Klang.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun X @MALAYSIAVIRALLL, kedua-dua individu itu didakwa ditangkap kerana cubaan menculik seorang kanak-kanak perempuan.

Terbaharu, pihak polis menerusi satu kenyataan hari ini (26 Mac) telah mengesahkan mengenai kejadian terbabit yang sohor di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian berlaku pada 7.30 petang semalam (25 Mac) di pasar raya NSK Klang Sentral.

Sedang pimpin tangan anak sebelum cuba diambil warga asing

Menurutnya, kejadian berlaku semasa si ibu yang juga pengadu sedang menaiki eskalator di pasar raya itu bersama adik perempuannya sambil memimpin tangan anaknya yang berumur setahun 7 bulan.

“Tiba-tiba datang dua lelaki warganegara asing yang tidak dikenali dari arah belakang di mana salah seorang suspek telah mengangkat anak wanita itu dari arah belakang.

“Wanita itu terus menjerit dan menarik semula anaknya. Susulan itu, dua lelaki terbabit cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang awam yang berada di sekitar kawasan itu,” katanya.

Menurutnya lagi, orang awam dengan segera mengubungi pihak polis untuk menyerahkan dua lelaki terbabit bagi tindakan lanjut.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama 3 hari

Jelas S Vijaya, kedua-dua suspek telah mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari dari Mahkamah Klang bagi membantu siasatan.

Berkongsi lanjut, beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan denda.

“Sebarang maklumat, bolehlah disalurkan kepada pihak IPD Klang Utara atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Pihak polis menyeru orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap kawasan sekeliling bagi mengelak daripada kejadian sebegini berulang,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.