fbpx
Now Reading
Polis Cekup 2 Lelaki Di Kelantan Kerana Hina Agong & Ugut Bunuh PM Anwar

Polis Cekup 2 Lelaki Di Kelantan Kerana Hina Agong & Ugut Bunuh PM Anwar

Menurut Ketua Polis Negara, kedua-dua individu yang berumur 37 dan 34 tahun itu ditahan secara berasingan pada 26 November dan hari ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila tular video seorang individu menawarkan upah wang sebanyak RM5 juta kepada sesiapa sahaja yang dapat membunuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, pihak polis dengan segera menjalankan siasatan lanjut berhubung video ugutan bunuh berkenaan yang dikatakan tular sejak pagi Ahad lalu (26 November).

Individu ugut bunuh PM berjaya ditangkap polis

Terbaharu, pihak polis menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya memaklumkan individu terbabit telah berjaya ditangkap di Kota Bharu, Kelantan.

Selain itu, seorang lagi individu turut ditahan di daerah sama secara berasingan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Dua suspek berumur 37 dan 34 tahun ditangkap polis di Kelantan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berumur 37 dan 34 tahun masing-masing ditahan di Kelantan pada 26 November dan hari ini (28 November).

“Suspek pertama disyaki pemilik Facebook ‘Cik Mat Cik Po’ ditangkap pada Ahad di kawasan Kota Bharu, Kelantan kerana memuat naik komentar kecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga Khamis ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998,” katanya.

Suspek kedua ugut bunuh PM ditahan hari ini

Sementara itu, suspek kedua dipercayai pemilik akaun TikTok @jaiadani89 ditahan hari ini di sekitar Jalan Padang Tembak, Kota Bharu selepas membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Anwar.

“Suspek direman selama tiga hari, mulai hari ini hingga Khamis ini. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998.

“Kedua-dua kes masih di peringkat siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, beliau turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan selain cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutamanya melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial.

Terdahulu, menerusi hantaran video di akaun TikTok @jaiadani89, lelaki terbabit menawarkan wang tunai berjumlah RM5 juta kepada sesiapa sahaja yang dapat menembak mati Anwar, menteri dan ahli-ahli parti politik DAP.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.