fbpx
Now Reading
Gencatan Senjata Perang Israel-Palestin Tamat, Zionis Sambung Bedil Gaza

Gencatan Senjata Perang Israel-Palestin Tamat, Zionis Sambung Bedil Gaza

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 21 orang telah terbunuh sejak tentera Israel kembali meneruskan serangannya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Israel mengumumkan penyambungan semula peperangan antara mereka dan pejuang Hamas yang mewakili Palestin pada Hari ini (1 Dicember) selepas kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata sementara.

Susulan itu, rejim Zionis terbabit telah melakukan beberapa siri serangan udara di seluruh wilayah Semenanjung Gaza.

“Hamas melanggar jeda operasi dan sebagai tambahan, menembak ke arah wilayah Israel.

“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) sudah menyambung semula pertempuran menentang organisasi Hamas di Semenanjung Gaza,” kata tentera Israel dipetik Harian Metro.

Menurutnya, jet pejuang tentera Israel pada ketika ini sedang menyerang sasaran pejuang Hamas di Gaza dan wartawan AFP melaporkan terdapat serangan udara di utara dan selatan wilayah itu.

Tentera Israel jatuhkan risalah amaran kepada penduduk di selatan Gaza

Memetik Al Jazeera pula, tentera Israel dilaporkan telah menjatuhkan risalah di kawasan tertentu Khan Younis di selatan Gaza untuk memberi amaran kepada penduduk awam agar berpindah ke selatan menuju Arafah – sebuah bandar yang bersempadan dengan Mesir yang menjadi sasaran serangan udara Israel sejak pagi tadi.

Amaran evakuasi ini jelas menunjukkan Israel kini merancang untuk menyerang kawasan di selatan Semenanjung Gaza selepas memfokuskan kebanyakan serangannya di utara sempadan sebelum perjanjian gencatan senjata sementara dilakukan.

21 orang terbunuh sejak Israel kembali meneruskan serangan

Dalam pada itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 21 orang telah terbunuh sejak tentera Israel kembali meneruskan serangannya.

Ujar pegawai kesihatan di wilayah itu, serangan udara Israel telah mengorbankan sembilan orang di seluruh Gaza dalam masa kurang dari dua jam.

Di selatan pula, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di Arafah dan satu di Khan Younis, lapor wartawan Hind Khoudary.

Turut tular rakaman yang menunjukkan kepulan asap di salah sebuah bangunan di Gaza angkara dibom tentera Israel selepas beberapa minit gencatan senjata ditamatkan.

Qatar dan Mesir masih berunding untuk lanjutkan gencatan senjata

Sementara itu, Qatar dan Mesir selaku perunding telah menghubungi pihak Israel dan Hamas sejak pertemburan kembali, kata sumber yang mengetahui perbincangan itu kepada Reuters.

Perbincangan antara kedua belah pihak untuk memanjangkan gencatan senjata masih berterusan, kata sumber itu lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.