Seorang peniaga lelaki ditemui maut di tempat letak kenderaan di sebuah apartment di Jalan Perak, George Town pada petang semalam (5 Disember).
Mangsa yang berniaga makanan di sekitar kawasan itu dilaporkan maut selepas ditikam dengan menggunakan senjata pisau sebanyak 27 kali.
Mangsa alami kecederaan di bahagian leher dan seluruh anggota badan
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.18 petang itu, mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah pada bahagian leher dan seluruh anggota badan.
Mangsa yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah kemudiannya telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan ambulans.
Mangsa disahkan maut ketika menerima rawatan di hospital
Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, mangsa yang juga warga emas berusia 60-an itu disahkan maut ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
”Hasil pemeriksaan, terdapat 27 tikaman pada leher dan seluruh badan mangsa. Motif kejadian masih dalam siasatan tetapi berdasarkan maklumat awal nampaknya mangsa bukan disamun namun dibunuh.
“Ini kerana, wang dan beberapa barangan milik mangsa masih berada pada badannya. Mangsa mempunyai beberapa rekod lampau dan tinggal di apartment tersebut,” katanya dipetik Kosmo.
Pihak polis buru 2 suspek selepas lihat rakaman CCTV di kawasan kejadian
Menurutnya, pihak polis sedang memburu dua suspek selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lif dan bawah pondok pengawal apartment terbabit.
“Semasa kejadian rakan suspek yang menunggang motosikal hanya berada di motosikal.
“Dia dipercayai bersiap sedia untuk melarikan diri jika terdapat pihak polis yang datang ketika rakannya menyerang mangsa,” katanya.
Berkongsi lanjut, V. Saravanan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan.