Seorang guru kaunseling di Seremban, Negeri Sembilan didakwa melakukan gangguan seksual terhadap murid lelaki di sebuah sekolah rendah di daerah itu.
Menurut Harian Metro yang memetik sumber, kegiatan menjijikkan itu mula terbongkar selepas menemui video lucah dipercayai dirakam guru itu sendiri ketika melakukan perbuatan terbabit terhadap muridnya.
Turut ditemui video perbuatan terkutuk guru berkenaan terhadap anak lelakinya
Apa yang mengejutkan lagi, turut ditemukan di dalam video berkenaan adalah perbuatan terkutuk guru terbabit terhadap anak lelakinya sendiri yang dipercayai dilakukan di rumah mereka.
“Guru besar sekolah terbabit membuat laporan polis pada 5 Disember lalu berhubung penemuan beberapa kandungan video lucah salah laku gangguan seksual yang dilakukan suspek terhadap murid.
“Difahamkan, turut dijumpai video yang memaparkan video perbuatan salah laku seksual guru terbabit terhadap anak lelakinya sendiri,” kata sumber itu dipetik Harian Metro.
Guru terbabit kini direman selama 7 hari untuk siasatan lanjut
Menurut laporan sama, guru lelaki itu telah direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Seremban hari ini (13 Disember) bagi membantu siasatan kes melakukan amang seksual fizikal terhadap muridnya.
“Suspek berusia 43 tahun direman bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.”
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan pihaknya menerima laporan kes tersebut dan suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut.