Cukai 10% LVG Mula Berkuat Kuasa, Harga Produk Online Alami Kenaikan & Tren Pembelian Menurun
Walaupun hanya 10% cukai dikenakan, terdapat peniaga yang mengambil kesempatan dan meningkatkan harga melebihi nilai cukai tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 1 Januari lalu, kerajaan telah mula mengenakan cukai jualan sebanyak 10% bagi barangan bernilai rendah (LVG). Susulan dengan itu, terdapat peniaga yang mula menaikkan harga produk mereka bagi menampung kenaikan kos yang ditanggung.
Untuk makluman, cukai ini dikenakan hanya pada barangan import yang berharga tidak melebihi RM500. Ia termasuk semua jenis barangan kecuali rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok.
Baca Artikel Berkaitan: Cukai Barang Online 10% Hanya Untuk Produk Import Sahaja – Fahmi Fadzil
Berikutan dengan penguatkuasaan cukai tersebut, orang ramai telah menyedari beberapa peniaga dalam talian tempatan yang menaikkan harga barang jualan mereka.
Seorang pengguna laman X (@Boeing747S8) mendapati harga satu pemutar skru elektronik telah meningkat sebanyak RM24 daripada harga asal RM105 sejak November 2023. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak lebih 20% berbanding cukai 10% yang dikenakan.
Susulan itu, Sinar Harian telah melakukan perbandingan bagi harga barangan sebelum dan selepas perlaksanaan cukai LVG melalui platform Shopee dan Lazada. Kebanyakannya menunjukkan peningkatan harga sekitar 10%, sejajar dengan cukai baharu itu.
Sebagai contoh, sarung tangan yang dibeli dari China menunjukkan peningkatan harga sebanyak RM8.80 daripada RM88 sebelum ini.
Namun bagi barangan dari Indonesia, mereka mendapati kenaikan harga sedikit lebih daripada 10%. Ini adalah seperti alat pemasangan simen batu bata yang dijual pada harga RM39.59 berbanding RM35.50 sebelum ini.
Malah, The Star melaporkan terdapat barangan yang mengalami kenaikan harga dua kali ganda setelah cukai LVG dijalankan pada 1 Januari lalu.
Datuk Koong Lin Loong, Bendahari Kehormat Dewan Perniagaan & Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), memberitahu The Star bahawa perubahan harga oleh peniaga online pasti berlaku setelah cukai tersebut dikuatkuasakan untuk memastikan mereka dapat mengekalkan keuntungan.
Jumlah Cukai Dikenakan Tidak Jelas
Dalam masa yang sama, penganalisis politik dan sosial, Lim Sian See berkata cukai LVG, sama seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mempunyai kelemahan berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Perkara ini adalah kerana di bawah sistem cukai LVG, pengguna tidak dimaklumkan tentang kenaikan harga barang atau jumlah nilai cukai dengan jelas.
Sistem cukai baharu ini membolehkan penjual menaikkan harga barangan untuk menampung kos cukai LVG tanpa disedari oleh pembeli. Kenaikan harga ini boleh menjadi lebih daripada nilai 10% cukai tersebut.
Pembelian Online Berkurangan
Berdasarkan laporan oleh Sinar Harian, terdapat pengurangan dalam pembelian produk luar negara secara online setelah cukai 10% dikenakan 1 Januari lalu.
Menurut seorang pembekal produk kecantikan luar negara, Ika Nadhira Abd Razak, dia menaikkan harga bagi menampung kos jualan yang turut meningkat akibat pengenalan cukai baharu.
“Walaupun baru beberapa hari cukai jualan itu dikenakan, saya dapat perhatikan corak pembelian di platform Shopee dan TikTok semakin berkurang. Ini mungkin disebabkan orang ramai sedar bahawa ada kenaikan harga,” kata Ika Nadhira.
Bagi peniaga Nur Haslina Hassan, dia tidak akan menaikkan harga dan akan menjual pada harga sama bagi produk yang sudah dibeli olehnya sebelum cukai LVG berkuat kuasa.
Namun begitu, dia percaya bahawa harga barangan import sudah tentu meningkat dengan adanya cukai jualan baharu itu.