fbpx
Now Reading
Pemandu Saga Dipercayai Ditarik, Diikat, Dipukul Hingga Mati Oleh Orang Awam Di Kajang

Pemandu Saga Dipercayai Ditarik, Diikat, Dipukul Hingga Mati Oleh Orang Awam Di Kajang

Setakat ini, pihak polis telah menahan lima lelaki berusia 25 hingga 52 tahun pada 2.05 pagi tadi di sekitar Semenyih dan Beranang untuk siasatan lanjut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Negara Malaysia sememangnya mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi oleh setiap orang, jika ada individu yang melakukan kesalahan, dia boleh ditangkap oleh pihak berkuasa, dibicarakan di mahkamah dan dihukum seadilnya.

Namun, masih ada segelintir rakyat di negara ini yang memilih untuk menghukum seseorang dengan cara sesuka hati sehingga membawa maut akibat terlalu mengikut perasaan.

Lelaki maut selepas ditarik keluar, diikat dan dipukul

Begitulah nasib yang menimpa seorang lelaki ini apabila dia yang baru sahaja terlibat kemalangan dipercayai telah ditarik keluar dari dalam kereta oleh sekumpulan orang awam sebelum tangannya diikat dan dipukul sehingga mati.

Difahamkan, kejadian tragis itu berlaku semalam (20 Februari) selepas lelaki yang berusia 42 tahun yang memandu Proton Saga berwarna kelabu telah terlibat dalam satu kemalangan dengan seorang penghantar makanan.

Sejurus kemalangan itu, mangsa telah dikejar oleh sekumpulan orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Pihak polis terima panggilan mengenai kemalangan itu

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat pada 9.20 malam mengenai kemalangan di kawasan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton Saga kelabu itu dipercayai terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan, manakala mangsa pula terbaring di atas jalan dengan kesan pergelangan tangan seperti diikat.

“Pihak ambulans yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia dan siasatan turut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini dipetik Harian Metro (21 Februari).

Saksi nampak mangsa ditarik keluar dan dipukul oleh sekumpulan lelaki

Menurutnya lagi, terdapat juga saksi di kawasan perumahan itu yang memaklumkan melihat mangsa yang terbabas, ditarik keluar dari kereta oleh sekumpulan lelaki sebelum memukulnya.

“Kemudian, tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaan, namun apabila kenderaan Peronda Polis (MPV) tiba, semua individu di lokasi mulai beredar.

“Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Polis ambil sampel darah, cap jari dan gumpalan tali di lokasi kejadian

Jelas Zaid, beberapa sampel darah termasuk kesan cap jari diambil selain dua utas gumpalan tali warna hijau dan coklat juga dirampas di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Bertindak atas maklumat dan siasatan, polis menahan lima lelaki berusia 25 hingga 52 tahun pada 2.05 pagi tadi di sekitar Semenyih dan Beranang.

“Semua tangkapan direman lima hari sehingga 25 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Serdang

Berkongsi lanjut, bedah siasat ke atas mayat mangsa dijalankan di Hospital Serdang hari ini dan setakat ini, kejadian dipercayai berpunca daripada kemalangan pertama yang berlaku berdekatan tempat kejadian.

“Mangsa melarikan diri dan dikejar oleh orang awam tetapi sehingga kini tiada pihak yang tampil membuat laporan mengenai kemalangan pertama.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 (Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang) dan Inspektor Ammar Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.