fbpx
Now Reading
Kes Tembak Di KLIA: Lelaki Cuba Bunuh Isteri, Terkena Pengawal Peribadi – Polis [Video]

Kes Tembak Di KLIA: Lelaki Cuba Bunuh Isteri, Terkena Pengawal Peribadi – Polis [Video]

Pengarah JSJ Mohd Shuhaily turut mendedahkan identiti suspek iaitu Hafizul Harawi berusia 38 tahun dan dia kini dianggap sebagai individu bersenjata yang berbahaya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

[Kemaskini] Polis sebentar tadi sudah mendedahkan invididu suspek yang kini dalam buruan sebagai Hafizul Harawi berusia 38 tahun.

Dia dipercayai memperoleh senjata api secara haram namun polis setakat ini belum mengenal pasti jenis senjata api yang digunakan.


Hari ini (14 April) kecoh di media sosial satu insiden tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Video berkenaan yang dimuat naik di TikTok kemudiannya tular dan sohor di semua platform media sosial sehingga mencuri perhatian ramai.

Polis kemudiannya mengesahkan insiden berkenaan namun menjelaskan keadaan terkawal dan selamat.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, insiden berlaku sekitar jam 1.30 pagi apabila seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan sebelum melarikan diri.

Namun satu daripada tembakannya telah terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.

@zakwanyaakub

Mohon hati hati . Ada kejadian tembak menembak di klia sekarang 1.30am… sapa yang ada kat sana atau otw ke sana mohon hati hati #klia #tembak #tembakmenembak #klia1

♬ original sound – Zakwanyaakub – Zakwanyaakub

@ehailing.fm

Belum diketahui punca segala punca.. video: orang awam

♬ original sound – Ehailing FM – Ehailing FM

Mahu tembak isteri tapi terkena pada pengawal peribadinya

Tambah beliau lagi, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu menembak isterinya yang berada di situ. Ketika kejadian si isteri difahamkan sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Tembakannya bagaimanapun terkena pada pengawal peribadi berkenaan mengakibatkan kecederaan parah.

Memetik Berita Harian, mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut.

Motif kejadian masih disiasat

Beliau dalam kenyataan media sama turut memaklumkan insiden tersebut adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai kes cubaan bunuh yang disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata 1960.

Suspek ada rekod jenayah, dipercayai melarikan diri ke utara

Menurut Hussein Omar lagi, identiti suspek sudah dikenal pasti dan kini dalam buruan. Dia bagaimanapun dipercayai telah melarikan diri ke utara.

Semakan pihak berkuasa turut mendapati suspek mempunyai rekod ugutan jenayah. Dia sebelum ini pernah ditahan sekitar Februari lalu kerana mengugut isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata isteri suspek sebelum ini ada membuat dua laporan polis terhadapnya iaitu pada 2016 dan Disember 2023.

“Buat masa ini motif yang kita dapat pastikan adalah lebih kepada perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.

“Mangsa pernah buat dua laporan polis sebelum ini berhubung ugutan jenayah iaitu pada 2016 dan yang terbaharu pada Disember tahun lalu dan hasil daripada laporan polis itu, suspek sudah pun ditahan polis,” kata Mohd Shuhaily dipetik Berita Harian.

Jelasnya lagi, PDRM sudah menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR). Namun setakat ini ada beberapa arahan lain yang perlu pihaknya laksanakan.

Polis dedah identiti suspek, Hafizul Harawi

Menurut kesemua laporan berita, pihak polis memaklumkan suspek dikenal pasti sebagai Hafizul Harawi, 38 dan kini dianggap sebagai individu bersenjata yang berbahaya.

Namun carian kami mendapati suami kepada wanita yang menjadi sasaran tembakan awal pagi tadi menggunakan akaun Facebook di bawah nama Hafizul Hawari.

Dia dipercayai memperoleh senjata api secara haram namun polis setakat ini belum mengenal pasti jenis senjata api yang digunakan.

Polis turut mengesahkan suspek tidak mempunyai permit menggunakan senjata api.

Selain bergelar suami, dia juga adalah rakan perniagaan kepada isterinya untuk satu syarikat agensi pelancongan dan umrah.

Memetik laporan Scoop, ketika insiden, isteri suspek juga sedang berada dalam fasa awal kehamilan.

Mengulas mengenai insiden, Mohd Shuhaily berkata, suspek pada awalnya telah melempar satu mercun sehingga mencederakan dua orang awam.

Dia kemudian menghampiri isterinya dan melepaskan tembakan dalam jarak dekat ke arah mangsa.

“Satu das tembakan tersasar dan satu das mengenai pengawal peribadi. Wanita itu yang menjadi sasaran sebenar terselamat daripada tembakan itu.

“Suspek kemudian melarikan diri ke aras dua Blok C, yang mana suspek datang dan meletakkan kereta di situ.

“Hasil siasatan awal, sememangnya jelas kita dapat kenal pasti suspek dan dia mempunyai senjata. Buat masa ini kita telah melancarkan operasi mengesan suspek.”

Wanita dakwa pengawal ditembak

Terdahulu seorang pengguna Facebook, Farah Cie mendakwa pengawal peribadinya telah ditembak oleh seorang individu di KLIA.

Dalam muat naik ringkas tersebut, dia memaklumkan satu laporan polis telah dibuat dan kenyataan rasmi juga akan dikeluarkan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.