Kes Gandar Omoda 5 Tercabut, Kereta Sudah Dibawa Ke Pusat Servis Untuk Pemeriksaan Menyeluruh – Cherry
Menurut Chery Auto Malaysia, kenderaan wanita berkenaan telah dibawa ke pusat servis untuk pemeriksaan dan penyiasatan secara menyeluruh dilakukan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (28 April) tular di Facebook satu hantaran seorang wanita yang meluahkan rasa kecewa apabila gandar (axle) kereta jenis Cherry Omodo 5 miliknya tercabut secara tiba-tiba ketika sedang meluncur di atas jalan.
Menerusi hantaran tersebut, wanita berkenaan meminta penjelasan daripada syarikat jenama berkenaan berhubung kejadian yang menimpanya walhal ia dipandu dengan baik tanpa mengalami sebarang kemalangan, terlanggar lubang dan sebagainya.
Terdapat kesan karat, gandar jatuh ketika kereta dibawa dalam keadaan perlahan
Menerusi gambar yang dikongsikan, wanita berkenaan turut menunjukkan terdapat kesan karat pada gandar berkenaan.
“Mengapa ia kelihatan hanya terdapat dua titik kimpalan, malah ia kelihatan seperti berkarat pada kimpalan dan menyebabkan ia jatuh secara tiba-tiba,” ujarnya.
Minta pakar dan Puspakom buat pemeriksaan lanjut
Enggan membuat sebarang spekulasi kerana kurang arif mengenainya, dia kemudian meminta pakar dari pihak jenama berkenaan dan Puspakom untuk membuat pemeriksaan lanjut.
“Kami sangat bernasib baik perkara ini berlaku ketika kenderaan dibawa dengan perlahan. Saya tak dapat membayangkan apa akan berlaku kepada saya dan tiga rakan lain jika gandar itu jatuh semasa kereta dibawa dalam keadaan laju di jalan raya.
“Kami keluar tidak sampai lima minit sebelum kejadian itu berlaku,” katanya.
Chery Auto Malaysia maklumkan kenderaan wanita terbabit telah dibawa ke pusat servis untuk tindakan lanjut
Terbaharu, Chery Auto Malaysia tampil memaklumkan kenderaan itu telah dibawa ke pusat servis untuk pemeriksaan dan penyiasatan secara menyeluruh.
Menurutnya, pihaknya komited dalam menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan boleh dipercayai selain berdedikasi dalam memastikan kereta jenamanya memenuhi piawaian keselamatan yang tertinggi.
“Kami ingin memberikan maklumat terkini mengenai hal gandar (Axle) kenderaan model Omoda 5 baru-baru ini. Chery Auto Malaysia sudah menghubungi dan kini sedang berkomunikasi dengan pelanggan tersebut.
“Kenderaannya sudah pun dibawa ke pusat servis untuk pemeriksaan dan penyiasatan menyeluruh,” katanya.
Para pelanggan yang bimbang boleh buat temu janji untuk pemeriksaan kereta
Sebagai langkah proaktif dan selaras dengan protokol jenama berkenaan, syarikat itu juga sedang giat menghubungi para pelanggan yang terbabit.
Para pelanggan yang bimbang mengenai kenderaan mereka juga boleh membuat temu janji di pusat servis yang berdekatan untuk membuat pemeriksaan rapi.
“Pelanggan bagi semua kenderaan yang diperiksa akan menerima laporan penuh.”
Selain itu, para pelanggan juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Chery Malaysia di talian 03 – 2772 7070 untuk sebarang pertanyaan bagi menjamin keyakinan pelanggan Chery dan Omoda.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih, khasnya buat pelanggan dan para pengikut kami atas kesabaran anda. Kami komited terhadap ketelusan dan menjamin dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kualiti dan kepuasan,” jelasnya lagi.